Kecuali visa, beri nafas baharu industri pelancongan Terengganu - Utusan Malaysia

Kecuali visa, beri nafas baharu industri pelancongan Terengganu

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pengumuman kerajaan untuk mengecualikan visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India mulai 1 Disember ini bakal memberi nafas baharu kepada industri pelancongan di Terengganu sepanjang musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata, selama ini industri pelancongan di negeri itu akan sedikit suram pada musim tengkujuh kerana berlakunya banjir di beberapa lokasi.

Menurutnya, persepsi pelancong yang beranggapan Terengganu tidak sesuai dikunjungi sepanjang tempoh itu agak sukar diubah.

“Oleh itu, kita sangat menyambut baik pengumuman tersebut dan bersedia menerima peningkatan pelancong ke negeri itu. 

“Kita harap kerajaan persekutuan juga akan promosikan musim tengkujuh dan Monsun Timur Laut di Terengganu untuk dikunjungi oleh pelancong dari China dan India itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, hari ini. 

Utusan Malaysia semalam, melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023 di Putrajaya mengumumkan pengecualian visa buat pelancong dari China dan India ke Malaysia. 

Turut menerima kemudahan sama sebelum ini adalah negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait dan Oman serta lapan lagi negara ASEAN yang dibenarkan lawatan bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan sehingga 30 hari. 

Razali menambah, ramai pelancong takut berkunjung ke Terengganu kerana banjir sedangkan masih banyak tempat yang boleh dilawati di kawasan yang tidak terjejas.

“Biasanya, nak masuk ke pulau-pulau peranginan memang agak risiko kerana ombak tinggi namun di darat, kita banyak aktiviti pelancongan yang menarik.

“Tasik Kenyir dan Tanah Bencah, Setiu memiliki banyak inap Desa dan aktiviti yang terkenal seperti memancing, mencari lokan dan kepah yang sesuai dilakukan seisi keluarga.

“Kedua-dua destinasi ini adalah amat sesuai untuk dilawati orang luar pada musim tengkujuh. Tasik Kenyir misalnya ada rumah bot dan ia sesuai untuk pecinta dunia memancing sebab ketika ini ikan-ikan di sana ‘galak’ dan saya pasti ianya amat mengujakan para pemancing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya