'Kalaulah Muhyiddin tidak serah jawatan ketua pembangkang’ 

‘Kalaulah Muhyiddin tidak serah jawatan ketua pembangkang’ 

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan  memimpin ahli Parlimennya dengan baik jika tidak menyerahkan jawatan ketua pembangkang kepada Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin. 

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abd. Samad percaya, kehadiran pemimpin-pemimpin PN di barisan hadapan dalam ‘perang politik’ dalam sidang Dewan Rakyat pasti memberangsangkan.

Katanya, jika Muhyiddin bertindak sebagai ketua pembangkang, tidak akan berlaku kecelaruan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti yang berlaku sekarang menyaksikan empat wakil rakyatnya menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Ini satu sebab mengapa ahli-ahli Parlimen parti itu tidak segan silu beralih sokongan kepada Kerajaan. Saya pasti mereka tidak sempat rapat dan tidak berapa kenal sangat dengan Muhyiddin selaku pemimpin tertinggi parti mereka.

“Sepatutnya Muhyiddin pegang jawatan ketua pembangkang dan tidak serah kepada Hamzah,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya semalam. 

Bekas ketua UMNO Johor Bahru itu berkata, pimpinan tertinggi Pas dan Bersatu seakan-akan tidak melihat Parlimen sebagai institusi paling penting dalam sistem politik negara.

“Bagi saya, inilah satu kelemahan PN sehingga membuka ruang kepada ahli-ahli Parlimen mereka beralih sokongan. Kepemimpinan politik bukan hanya di peringkat parti, tetapi kepemimpinan itu juga perlu dilihat dan dirasai dalam Parlimen,” katanya. 

Shahrir turut mengambil contoh situasi berlaku dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyaksikan Datuk Seri Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan jawatan ketua pembangkang kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob walaupun ketika itu beliau Pengerusi BN. 

Susulan itu, katanya, berlaku kecelaruan dalaman UMNO dan BN akibat pertembungan antara ‘ahli Parlimen’ dengan ‘parti politik’. 

“Kesudahannya, Muhyiddin melantik Ismail (Naib Presiden UMNO) sebagai Timbalan Perdana Menteri dan akhirnya menjadi Perdana Menteri kesembilan. 

“Kini, Muhyiddin pula berdepan dengan pertembungan fahaman yang sama. Persoalannya, siapa lebih besar, ahli Parlimenkah atau parti? 

“Jawapannya ialah kepemimpinan. Kepemimpinan di dalam parti dan kepemimpinan di dalam Dewan Rakyat. Maka, semakin kuranglah butang yang boleh ditekan,” katanya. 

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, tindakan PN menolak draf awal undang-undang anti lompat parti berhubung elemen mana-mana ahli Parlimen yang ingkar arahan parti dan tidak mengikut arahan ketua whip dianggap sebagai keluar parti dan berlaku kekosongan kerusi, dilihat ‘memakan diri’ parti tersebut. 

Sebelum itu, Muhyiddin dilaporkan menggesa agar undang-undang anti lompat parti dikaji semula kerana berpandangan terdapat kelemahan susulan tindakan empat ahli Parlimennya yang menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri, namun, kekal bersama parti. 

Empat wakil rakyat berkenaan iaitu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya