JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.36 malam tadi akibat barah disifatkan sebagai wakil rakyat berjiwa besar demi perjuangan parti.
Pengerusi PKR Johor, Rafizi Ramli berkata, Allahyarham sedikit pun tidak membantah apabila diminta memberi laluan kepada Dr. Zaliha Mustafa untuk bertanding dan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, Allahyarham yang sudah dianggap sebagai kakak itu banyak berjasa kepada parti khususnya di awal kemunculan PKR di Sekijang yang merupakan kubu kuat UMNO sebelum ini.
“Sekijang sebelum itu kubu kuat UMNO dan sangat sukar ditembusi kerana banyak Felda di sekelilingnya. Saya yang meyakinkannya yang PKR boleh menang di Sekijang dan minta beliau bertanding pada 2018 (PRU14).
“Saya ingat di malam keputusan PRU14, semasa saya memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu mengenai kerusi-kerusi yang PKR menang.
“Antara yang beliau paling terkejut ialah kerusi Sekijang. Reaksi Anwar ‘Kak Natrah pun menang?’ itu saya akan ingat selama-lamanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Menteri Ekonomi itu turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarganya.
Bekas Ahli Parlimen Sekijang itu selamat dikebumikan pada pukul 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Dalam, Segamat.
Ibu kepada enam cahaya mata itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9.36 malam tadi di Hospital Segamat akibat barah hati tahap 4.
Natrah merupakan Ahli Majlis Pimpinan Wanita Keadilan Pusat menjadi Ahli Parlimen Sekijang, Johor dari tahun 2018 sehingga 2022.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Parlimen Sekijang itu yang meninggal dunia akibat kanser malam tadi.
Sementara itu Dr. Zaliha menerusi hantaran di Facebook berkata, jasa dan sumbangan Allahyarham sepanjang perkhidmatannya akan sentiasa dikenang terutama rakyat di Sekijang.
“Kak Nat, begitulah panggilan mesra saya kepada beliau. Moga Allah mengampuni dan menempatkan roh beliau di tempat terbaik bersama para salihin dan muttaqin. Ameen Ya Rabb.
“Terima kasih Kak Nat atas persahabatan ini dan saya menjadi saksi atas kebaikan beliau ketika hidupnya,” katanya yang juga Menteri Kesihatan.-UTUSAN