RUU PSB pulih kediaman usang

RUU PSB pulih kediaman usang

NGA KOR MING menerima memorandum sebagai tanda sokongan terhadap Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) di Kuala Lumpur, semalam. – FACEBOOK NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keuzuran kediaman usang dan uzur berusia lebih 30 tahun dengan pelbagai kerosakan menjadi punca utama penduduk flat di Lembah Klang menyokong
Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) diteruskan.

Kata mereka ini bagi memastikan ke selamatan dan kualiti kehidupan mereka dipulihkan.

RUU PSB mampu menjadi mekanisme penting menaik taraf, membaik pulih serta memodenkan kawasan perumahan lama, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan.

Pengerusi Penduduk Taman Sri Indah Bukit Jalil, Rahimah Abdul Ghafor, 71, yang sudah lebih 30 tahun menetap di flat terbabit, kini berdepan pelbagai masalah
serius seperti pendawaian rosak, saluran najis bocor, bumbung dan longkang pecah, malah kerap berlaku kes ular masuk kawasan rumah.

“Kita tidak boleh tunggu lama. Rumah makin uzur, warga emas seperti kami perlu rumah lebih sesuai dan selamat,” katanya pada Himpunan Menyokong RUU PSB 2025
di depan Bangunan Parlimen, semalam.

Himpunan bermula pukul 10 pagi itu menyaksikan penduduk menyerahkan memorandum sokongan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Difahamkan, ia melibatkan penghuni flat Taman Sri Indah, Taman Desa Bakti Selayang dan Taman Maluri.

Seorang lagi penduduk, S. Vijayan, 65, berkata, RUU PSB memberi peluang kepada keluarga berpendapatan sederhana memiliki kediaman lebih selesa.

“Bayangkan flat lima tingkat yang saya duduki sejak 1983, tiada lif. Saya sendiri sukar naik tangga akibat kecederaan kaki. Jadi saya tidak faham kenapa ada pihak membantah, sedang­kan ia langsung tidak merugikan,” katanya.

Sementara itu, Kor Ming yang menerima memorandum berkenaan berkata kerajaan akan meneruskan pembenta­ngan bacaan kali kedua RUU PSB di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menyifatkan pihak yang menentang sebagai hanya bermain sentimen politik, sedang­kan matlamat RUU itu adalah menetapkan hala tuju pemba­ngunan bandar mampan, maju, makmur dan inklusif. “Kita mahu politik yang membina, yang penting rakyat bersama kita,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan tetap meneruskan bacaan kali kedua RUU PSB walaupun mendapat bantahan daripada beberapa Ahli Parlimen pembangkang.

RUU PSB yang dibentangkan selepas bacaan pertama pada 21 Ogos lalu merupakan antara inisiatif kerajaan pusat untuk mempercepat pembangunan semula kawasan bandar lama dan uzur.

Sejak Disember 2024, sebanyak 74 sesi libat urus telah diadakan melibatkan pelbagai pihak termasuk badan profesional, pemaju, JMB, kerajaan negeri, universiti dan orang awam.

RUU menetapkan ambang persetujuan 80 peratus bagi bangunan berusia 30 tahun ke bawah, 75 peratus bagi bangunan lebih lama, dan 51 peratus bagi bangunan terbengkalai.

Dalam perkembangan sama, lebih 100 individu termasuk penyokong Perikatan Nasional (PN) dan NGO turut berhimpun menyerahkan memorandum bantahan kepada beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Pas tetap membantah RUU PSB kerana terdapat kelemahan serta kesan jangka panjang terhadap perpaduan dan keharmonian rakyat.

Mereka menyerahkan me­mo­randum bantahan kepada beberapa Ahli Parlimen terma­suk Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta wakil rakyat kerajaan seperti Wong Chen (PH-SUBANG), Rodziah Ismail (PH–AMPANG), Zahir Hassan (PH–Wangsa Maju) dan Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (BN–Tanjung Piai).

Di blok pembangkang pula, antara yang hadir menerima memorandum ialah Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (PN–Arau), Khairil Nizam Khirudin (PN–Jerantut), Datuk Idris Ahmad (PN–Bagan Serai), Fathul Huzir Ayob (PN–Gerik) dan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN–Maran).

Pas tetap membantah Rang Undang-Undang Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) kerana terdapat pelbagai kelemahan, permasalahan serta kesan jangka panjang terhadap perpaduan dan keharmonian rakyat sekiranya ia dilaksanakan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan digesa menghentikan dan menarik balik pelaksanaan RUU itu dengan segera kerana bantahan terhadap akta itu tidak hanya datang daripada Pas, malah turut disokong pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.

“Walaupun ia menyaksikan bantahan terbesar terhadap sesuatu rang undang-undang berbanding sebelum ini, kerajaan seolah-olah memekakkan telinga terhadap pelbagai permasalahan besar berkaitan PSB,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN