Tiga maut termasuk dua pelajar insiden tembakan di gereja Minneapolis - Utusan Malaysia

Tiga maut termasuk dua pelajar insiden tembakan di gereja Minneapolis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINNEAPOLIS: Dua kanak-kanak berusia lapan dan 10 tahun terbunuh, manakala 17 lagi cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sebuah gereja yang menganjurkan aktiviti untuk pelajar sekolah rendah di Minneapolis, Minnesota.

Ketua Polis Minneapolis, Brian O’Hara, memaklumkan suspek melepaskan tembakan dari luar tingkap Gereja Annunciation menggunakan tiga jenis senjata iaitu senapang rifle, senapang patah dan pistol sebelum membunuh diri di tempat letak kereta berdekatan.

Semua senjata tersebut dilaporkan dibeli secara sah.

“Dua pelajar maut di tempat kejadian manakala 14 pelajar lain dan tiga jemaah warga emas cedera akibat tembakan,” katanya dalam sidang media.

Gereja berkenaan terletak bersebelahan dengan sebuah sekolah Katolik yang berkongsi kawasan sama. Pada masa kejadian, puluhan pelajar menghadiri aktiviti sempena minggu pertama persekolahan.

Menurut saksi, suasana panik berlaku apabila suspek, yang berpakaian hitam dan memakai topeng ski, mula melepaskan tembakan. Beberapa murid dilaporkan sempat bersembunyi di bawah bangku gereja.

Pengarah FBI, Kash Patel, mengesahkan insiden ini disiasat sebagai “tindakan keganasan domestik dan jenayah kebencian terhadap penganut Katolik.”

Suspek dikenal pasti sebagai Robin Westman, 23, seorang wanita transgender dengan nama sebenar Robert Westman.

Dia didapati menukar nama secara sah pada tahun 2020 dan dikenali sebagai transgender wanita. Dokumen mahkamah menunjukkan suspek pernah bersekolah di institusi berkenaan.

Beberapa video dan dokumen peribadi yang dimuat naik oleh suspek sebelum kejadian turut mengandungi manifesto dan ilustrasi senjata. Kesemua kandungan tersebut kini telah dipadamkan dari platform dalam talian.

Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey, menggesa orang ramai tidak menyalahkan komuniti tertentu susulan insiden ini.

“Kita tidak boleh menjadikan tragedi ini sebagai alasan untuk menyalahkan komuniti transgender atau mana-mana kumpulan lain. Fokus kita sepatutnya kepada isu pemilikan senjata yang semakin berleluasa,” kata Frey.

Menurut Arkib Keganasan Senjata, sebanyak 287 insiden tembakan beramai-ramai direkodkan di seluruh Amerika Syarikat setakat tahun ini.

Tahun lalu sahaja, lebih 16,700 kematian akibat keganasan senjata api dilaporkan, tidak termasuk kes bunuh diri.

Presiden Donald Trump terkejut dan sedih dengan kejadian itu dan mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang di Rumah Putih sebagai tanda berkabung.

Sementara itu, Pope Leo XIV iaitu pope pertama dari AS turut menyampaikan ucapan takziah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN