PETALING JAYA: Gandingan duo pemain sayap negara, Arif Aiman Mohd. Hanapi dan Mohamad Faisal Abdul Halim membuatkan pengendali Taiwan, Gary White kagum dengan kepantasan mereka hingga menyebabkan pertahanannya tiada jawapan menghalang gerakan sekali gus tewas 0-1.
Jelas White, dua pemain ini baginya adalah duri dalam daging buat skuad Blue Wings itu sepanjang perlawanan.
“Pemain nombor 12 (Arif Aiman) dan 7 (Faisal Halim) adalah pemain yang hebat, pantas dan bergerak dengan cepat.
“Mereka memanipulasi ruang sebelah kanan dari awal dibantu pemain nombor 2 (Matthew Davies), jadi apa yang kami buat adalah pastikan kami kekal dalam formasi namun kesilapan individu membenarkan mereka menjaringkan gol,” katanya pada sidang media selepas aksi itu.
Kemenangan dalam aksi kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taipei kelmarin, menyaksikan Malaysia memimpin Kumpulan D selepas merekodkan dua kemenangan berturut-turut.
“Tahniah kepada Malaysia kerana mendapat tiga mata. Kami dihukum kesilapan individu dan Malaysia mungkin rasa mereka bernasib baik pulang dengan tiga mata tetapi Kim Pan Gon menjalankan tugas dengan baik untuk membina satu skuad yang terbaik dengan pemain yang berpengalaman.
“Malaysia membawa semua pemain terbaik untuk kempen kelayakan ini berbeza dengan kami. Tahniah kepada persatuan anda kerana melakukan perkara yang betul dan anda raih kebaikannya kini,” jelasnya.
Berikutan kekalahan itu, Taiwan kini menghuni tangga tercorot selepas turut tunduk 0-3 kepada Oman. – UTUSAN