Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat mendadak - Utusan Malaysia

Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat mendadak

SEORANG penduduk melihat paras air di pekarangan rumahnya di  Kampung Alur, Surau Panjang, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 KUALA TERENGGANU : Jumlah mangsa banjir di enam daerah di Terengganu meningkat mendadak kepada 4,787 orang daripada 1,260 keluarga setakat pukul 8 pagi ini.

Ia peningkatan ketara berbanding  2,751 orang daripada 735 keluarga pada pukul 4 petang semalam berikutan pembukaan 14 lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan terjejas berbanding hanya 18 PPS petang semalam.

Menurut Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, ketika ini terdapat 32 PPS beroperasi di enam daerah iaitu 14 di Kuala Nerus, tujuh di Marang, lima di Kuala Terengganu, empat di Besut, satu di Setiu dan satu di Dungun.

Beliau berkata, Dungun menjadi daerah terbaharu yang dilanda banjir dengan pembukaan satu PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah malam tadi yang menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga.

Menurutnya, Daerah Kuala Nerus masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi ketika ini iaitu seramai 1,695 mangsa daripada 445 keluarga.

“Di Kuala Terengganu pula, jumlah mangsa turut meningkat kepada 1,137 orang daripada 332 keluarga berbanding 776 orang daripada 228 keluarga semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa banjir juga meningkat di daerah Marang iaitu 1,251 orang daripada 316 keluarga berbanding 596 orang daripada 152 keluarga sebelum ini.

“Di Besut, berlaku penambahan tiga lagi PPS menjadikan jumlah mangsa meningkat kepada 673 orang daripada 159 keluarga.

“Bagaimanapun, di Setiu pula, jumlah mangsa berkurangan kepada lapan orang daripada tiga keluarga susulan penutupan satu PPS di daerah itu,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula menunjukkan stesen bacaan di parit utama Padang Kemunting, Kuala Nerus masih melepasi paras bahaya dan trend menaik dengan bacaan setinggi 3.97 meter (paras bahaya 3.8 meter).

Selain itu, tiga sungai di tiga daerah pula kini telah melepasi paras waspada iaitu Sungai Nerus (daerah Kuala Nerus) di stesen bacaan Kampung Jeram setinggi 2.03 meter (paras waspada 2.0 meter).

Di Setiu, rekod di stesen bacaan Jambatan Permaisuri Sungai Setiu ialah setinggi 7.72 meter (paras waspada 7.6 meter) manakala di Kemaman, Sungai Tumpat melalui stesen bacaan di Kampung Baru Kemasik ialah setinggi 1.65 meter (paras waspada 1.6 meter). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya