Jualan Rahmah catat jualan RM162 juta, manfaat 5 juta pengguna - Utusan Malaysia

Jualan Rahmah catat jualan RM162 juta, manfaat 5 juta pengguna

FUZIAH Salleh (dua dari kiri) menurunkan tandatangan perasmian Pesta Aiskrim Rahmah dan Jualan Rahmah di Kangar Jaya, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jualan Rahmah yang dikelolakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencatatkan jualan sehingga RM162 juta sehingga pertengahan November tahun ini.

Timbalan Menterinya, Senator Fuziah Salleh berkata, jumlah jualan itu dicatatkan menerusi 3,530 Jualan Rahmah yang memberi manfaat kepada kira-kira 5 juta pengguna di 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

Katanya, kementerian akan menggunakan sehingga habis peruntukan bagi tahun ini berjumlah RM150 juta bagi meneruskan Jualan Rahmah di seluruh negara.

“Kita juga gembira melihat penglibatan lebih banyak pihak francais yang juga salah satu bahagian di bawah KPDN dan rakan strategik kita untuk turut serta dalam program Jualan Rahmah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Aiskrim dan Jualan Rahmah di sini hari ini.

Tambahnya, pihak KPDN juga akan turut membantu pembangunan francais di dalam dan di luar negara menerusi peruntukan RM10 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun hadapan.

Dalam pada itu, katanya, KPDN juga mencadangkan kepada Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) untuk menyediakan data mengenai kesemua elemen yang menjadi indikasi kos sara hidup menjelang pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (SST) dari enam ke lapan peratus pada tahun hadapan.

“Kita sudah mencadangkan kepada DOSM untuk melakukan kajian terperinci terhadap enam elemen seperti perumahan, makanan, pengangkutan, kesihatan, pendidikan dan utiliti.

“Kajian itu turut merangkumi kesan kepada perbelanjaan pelan data untuk pelajar-pelajar universiti selain penggunaan tambang pengangkutan,” jelasnya.

Tambah Fuziah, buat masa ini, KPDN sedang menanti laporan kajian terperinci tersebut yang dijangka akan siap sebelum hujung tahun ini kerana pelaksanaan SST dijangka dilaksanakan awal tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Fuziah memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang kertas atau rundingan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengenai cadangan Gabungan Persatuan Pengilang-pengilang Beras Malaysia mewujudkan beras gred tunggal.

Katanya, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 adalah kuasa penuh di bawah KPKM dan daripada segi dasar, kementerian itu bertanggung jawab mengenai hal tersebut manakala KPDN berada di hujung rantaian.

Tambahnya, pihak KPDN akan memberi ulasan dalam bentuk kertas namun setakat ini masih belum ada perundingan di peringkat dua kementerian itu.-UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.