Jangan jadikan pembangkang seperti ‘peminta sedekah

Jangan jadikan pembangkang seperti ‘peminta sedekah’

perlembagaan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan diminta tidak menjadikan ahli parlimen pembangkang seperti ‘peminta sedekah’ susulan peruntukan ke kawasan tidak diberikan sehingga hari ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen PKR Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, mengikut amalan demokrasi perkara itu tidak positif, apatah lagi kerajaan kini dalam usaha mengelakkan budaya rasuah politik.

“Saya minta kerajaan jangan jadikan ahli-ahli parlimen pembangkang bertindak sebagai peminta sedekah. Hormatilah mereka.

“Kerajaan Perpaduan Madani sekarang sudah mempunyai majoriti yang selesa di Parlimen untuk menjadi kerajaan yang stabil. Kerajaan yang baik, telus, tidak korup memerlukan pembangkang yang kuat dan berkesan serta konstruktif di Parlimen.

“Jangan jadikan peruntukan kawasan Parlimen sebagai um­pan untuk melemahkan pembangkang. Itu tidak baik bagi amalan demokrasi yang sihat dan matang selain mengelakkan budaya rasuah politik,” katanya menerusi WhatsApp, semalam.

Terdahulu, empat ahli parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengisytiharkan menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Kuala Kangsar,

Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim Ahli dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Jika perkara sebegini berterusan bermakna, usaha menjadikan politik Malaysia lebih stabil menerusi Undang-undang Anti Lompat gagal kerana terdapat kelompongan sehingga terdapat wakil rakyat yang membuat pendirian berbeza dengan parti masing-masing.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, pentadbir hari ini seharusnya bertindak sebagai kerajaan yang telus dan tidak mengamalkan rasuah, sekali gus pembangkang yang kuat dan konstruktif amat diperlukan di Parlimen.

“Tindakan empat ahli parlimen itu seakan mempermainkan kelemahan dan kecacatan pindaan perlembagaan tersebut. Hasrat Parlimen untuk mencegah tindakan lompat parti telah digagalkan dengan tindakan ahli-ahli parlimen yang menggunakan kelemahan undang-undang yang ada sekarang.

“Saya merayu supaya kerajaan dan Perdana Menteri memberikan peruntukan kawasan kepada semua ahli parlimen pembangkang. Tidak perlu runding- runding, tidak perlu MoU (perjanjian persefahaman). Semua ahli parlimen dipilih oleh rakyat. Maka, rakyat di 222 kawasan parlimen seluruh negara berhak terhadap dana untuk kawasan mereka daripada kerajaan,” ujarnya lagi.

Dalam hal ini, kata Hassan, Parlimen perlu menggubal Akta Peruntukan Kawasan bagi setiap 222 kawasan parlimen yang mewajibkan kerajaan memberi peruntukan kepada semua ahli parlimen sama ada kerajaan ataupun pembangkang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN