Jangan cetus provokasi ketika konsert Coldplay

Jangan cetus provokasi ketika konsert Coldplay

PENONTON sanggup beratur dalam keadaan hujan untuk menyaksikan Konsert Cold Play di Stadium Nasional Bukit Jalil. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang provokasi semasa atau selepas konsert kumpulan rock Coldplay: Music Of The Spheres World Tour yang dijadual berlangsung di Stadium Bukit Jalil hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan pada konsert berkenaan.

Beliau berkata, 75,000 penonton dijangka hadir ke konsert itu dan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terjamin, pemeriksaan badan, beg dan barangan dilakukan di pintu masuk yang dibuka pada pukul 6 petang.

“Pemeriksaan ini  bagi memastikan tiada barangan dilarang dibawa masuk. Pengunjung dilarang membawa masuk mercun, topi keledar, laser, objek tajam, senjata, minuman keras, payung atau tongkat, powerbank dan botol air.

“Pengunjung turut dilarang membawa masuk pemetik api, rokok dan rokok elektronik, pembesar suara dan menerbangkan dron,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zam Halim berkata, polis tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk ataupun dalam kawasan perkarangan stadium.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang hadir ke konsert berkenaan untuk menggunakan pengangkutan awam dan tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan sekitar laluan masuk dan keluar stadium.

“Orang ramai juga dinasihati mematuhi arahan anggota polis yang bertugas, mengamalkan sikap tolak ansur dan bersabar ketika memandu di sekitar stadium berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN