Terkilan rakan guna barang sesuka hati

Terkilan rakan guna barang sesuka hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Soalan:

Rakan serumah suka mengguna barang saya seperti kereta, makanan dan kadangkala meminjam duit tanpa menggantikan semula. Awalnya saya ikhlas membantu sebab mengenangkan dia dari keluarga susah, tapi bila hampir dua tahun dengan sikap yang sama, saya rasa sangat terkilan. Nak ditegur, khuatir terasa hati.

Rakan Sedih

Jawapan:

Memiliki rakan yang baik adalah satu nikmat dalam perhubungan. Membantu orang lain juga perkara yang baik, namun jika kebaikan sering diambil kesempatan hingga menjejaskan emosi dan ketenangan diri, kita perlu belajar menetapkan batas. Berikut beberapa tip untuk membantu anda menghadapi situasi ini.

Tetapkan batas perhubungan

Setiap hubungan perlu ada sempadan. Anda perlu tahu apa yang boleh dan tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Apabila batas ini jelas, ia dapat mengelakkan orang lain daripada mengambil kesempatan dan membantu anda menjaga keseimbangan dalam hubungan.

Utamakan ketenangan diri

Walaupun niat anda ingin membantu orang lain, jangan sampai mengabaikan keperluan diri sendiri. Kesihatan emosi, kewangan dan mental anda juga penting. Bila diri sendiri stabil, barulah kita mampu membantu orang lain dengan lebih baik.

Bezakan membantu dan dipergunakan

Membantu seseorang adalah satu kebaikan, tetapi ia perlu datang dengan rasa hormat dan tanggungjawab dari kedua-dua pihak. Jika dia sahaja menerima tanpa menghargai atau tidak cuba berubah, anda perlu sedar bahawa anda mungkin sedang dipergunakan.

Elakkan memberi jika terbeban

Anda tidak perlu merasa bersalah untuk berkata “tidak” sekiranya permintaan orang lain membebankan kehidupan harian anda. Wajar sekiranya anda belajar untuk menolak demi menjaga diri sendiri.

Berkomunikasi matang

Komunikasi yang baik bukan sekadar bercakap, tetapi bagaimana cara menyampaikan mesej dengan tenang, jelas dan tidak menyalahkan. Ini penting supaya hubungan anda masih boleh diteruskan tanpa rasa benci atau konflik yang berpanjangan.

Sediakan Pelan “Exit Strategy”

Jika teguran secara baik telah dilakukan dan dia tetap tidak berubah atau menunjukkan reaksi negatif, anda perlu mempertimbangkan untuk mencari rumah sewa lain atau meminta dia berpindah. Persahabatan yang sihat tidak seharusnya mengorbankan ketenangan diri anda.

Kesimpulannya, menjaga hati rakan itu baik, tetapi menjaga diri sendiri adalah lebih penting. Anda juga berhak untuk hidup dengan tenang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN