PETALING JAYA: Seramai 250 orang calon dijangka merebut 56 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula minggu hadapan.
Jumlah itu mengambil kira pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selain Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sudah berpisah serta kewujudan blok dan parti baharu termasuklah Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Pertembungan pelbagai penjuru itu sekali gus menyaksikan PRN Johor kali ini dijangka berlangsung sengit seterusnya menjadi medan menguji tahap sokongan rakyat susulan beberapa keputusan penting yang diambil parti-parti politik kebelakangan ini.
Sebanyak tujuh kerusi DUN iaitu Bukit Batu, Bukit Pasir, Parit Yaani, Tangkak, Serom, Bukit Kepong dan Jementah dijangka menjadi kerusi tumpuan selepas penyandang masing-masing hanya meraih majoriti kurang daripada 800 undi dalam PRN sebelum ini.
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, gabungan itu sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRN Johor dan tidak bimbang sekiranya berlaku pertandingan pelbagai penjuru.
Menurutnya, PH yakin dengan kekuatan jentera serta penerimaan rakyat terhadap agenda yang dibawa gabungan tersebut sekali gus bersedia berdepan mana-mana lawan.
“Daripada segi persiapan, termasuk pemilihan calon, hampir 95 peratus telah dimuktamadkan. Senarai calon akan diumumkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin depan.
“Kami sudah berada pada fasa akhir persediaan dan bersedia untuk memasuki gelanggang pilihan raya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, sebahagian besar calon yang bakal diketengahkan parti itu merupakan muka baharu.
“Untuk Amanah, lebih 60 hingga 70 peratus adalah calon kali pertama. Golongan berusia bawah 50 tahun pula hampir 50 peratus,” katanya.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed pula berkata, Pas sudah lama bersedia dan kini hanya menunggu keputusan Pas Pusat mengenai pengagihan kerusi yang bakal ditandingi pada 27 Jun ini.
“Pas Johor memang sudah lama bersedia. Kami sudah melancarkan gerak kerja di kerusi-kerusi dan membuat pengagihan tetapi apabila hubungan dengan Bersatu ditamatkan, ia perlu dirombak semula. Rundingan masih berjalan di peringkat Pusat dan di Johor, kami hanya mengikut arahan,” katanya.
Tambahnya, krisis melanda PN tidak menjejaskan persiapan parti itu untuk menghadapi PRN Johor.
“Saya jangka akan berlaku pertandingan lima hingga enam penjuru dalam PRN Johor. Walaupun kami belum menentukan lagi kerusi yang akan ditandingi, Pas Johor sudah menggerakkan jentera terutama di DUN yang kami sandang,” katanya.
Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim berkata, walaupun parti itu tidak bertanding pada PRN Johor kali ini, jentera Berjasa akan digerakkan bagi membantu calon-calon Pas.
“Saya sudah berjumpa dengan kepimpinan Pas untuk menurunkan jentera Berjasa. Saya juga bertemu Pengarah Pilihan Raya Pas, Tan Sri Annuar Musa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Rasid Abu Bakar berkata, parti itu tidak lagi boleh dianggap sebagai parti underdog dan tidak gentar untuk bersaing dengan parti-parti besar.
“Esok (hari ini) kami akan mengumumkan calon-calon yang akan mewakili Muda dalam PRN Johor. Mereka memenuhi kriteria ditetapkan antaranya berupaya berkhidmat, profesional, mampu mewakili kawasan yang ditandingi serta berpegang kepada prinsip progresif yang selaras dengan parti.
“Jika dalam siri pilihan raya sebelum ini Muda sesuai digelar sebagai parti underdog kini keadaan sudah berubah. Kami sudah mempunyai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), selain proses penstrukturan parti yang telah dilaksanakan. Saya rasa Muda kini sebuah parti yang lengkap dan mampu bersaing dengan parti-parti lain,” katanya.
Katanya, rundingan dengan parti-parti pembangkang bagi mengelakkan pertembungan kerusi juga berjalan dengan baik.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Sementara Bersama Johor, S. Gopalakrishnan berkata, pihaknya masih menunggu keputusan pimpinan pusat berhubung kawasan serta jumlah kerusi ditandingi.
“Bersama sudah bersedia untuk bertanding cuma masih belum tahu kerusi mana dan siapa calonnya. Kami baru berusia sebulan dua hari jadi kami masih ‘bayi’ namun kami mempunyai kekuatan di Johor.
“Objektif utama kami adalah mengambil bahagian dalam PRN kali ini,” katanya.-UTUSAN.











