PETALING JAYA: Pas tidak mempunyai masalah untuk menggunakan logo parti itu dalam mana-mana pilihan raya namun tetap menegaskan keutamaan ketika ini adalah mempertahankan mandat rakyat yang diberikan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, isu penggunaan logo PN tidak wajar dilihat daripada sudut strategi menarik sokongan pengundi atas pagar semata-mata sebaliknya ia merupakan soal prinsip dan persefahaman dalam gabungan tersebut.
Katanya, Pas tidak mempunyai masalah untuk menggunakan lambang sendiri di negeri tertentu.
“Tak ada masalah sekiranya Pas mahu guna logo sendiri, sebab kami memang guna lambang sendiri di Kelantan dan Terengganu.
“Isu sebenar adalah untuk memastikan semua parti dalam PN dihormati dan mandat rakyat dipertahankan. Tak boleh ada mana-mana pihak yang menganggap PN ini milik mereka semata-mata.
“Jadi Pas mengekalkan PN bukan kerana Pas semata-mata tetapi kerana ini adalah milik bersama. Mana-mana parti yang rasa PN ini dia punya secara eksklusif, kita akan lawan kerana ia perlu ikut perlembagaan dan perundangan, seperti yang dilakukan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Khairul Nadzir berkata, penggunaan logo di PRN Johor dan Negeri Sembilan masih dalam perbincangan kepimpinan tertinggi.
“Penggunaan lambang atau logo di Johor dan Negeri Sembilan masih dalam perbincangan dan pertimbangan. Belum ada keputusan muktamad setakat ini,” katanya.
Tambahnya, penggunaan logo PN di kedua-dua negeri itu sebelum ini adalah kesinambungan kepada formula sedia ada kerana terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas yang menang di bawah tiket gabungan tersebut.
“Jadi ia bukan perkara baharu sebaliknya kesinambungan kepada strategi sedia ada,” katanya.-UTUSAN.











