Jamal Abdillah anjur konsert amal bantu pusat tahfiz, Palestin - Utusan Malaysia

Jamal Abdillah anjur konsert amal bantu pusat tahfiz, Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah berhasrat mengumpul dana dan memberi bantuan kepada rakyat Palestin serta sekolah tahfiz di Malaysia menerusi majlis makan malam dan konsert mini.

Acara yang dinamakan Makan Malam Amal Kaseh PLG dan Konsert Mini yang bakal berlangsung pada 22 Disember di Hotel Royale Chulan Seremban itu turut menampilkan artis jemputan seperti Datuk Nash, Azlan (Lan & The Typewriter) dan Eka Sharif.

“Pada majlis makan malam itu nanti saya ada berbincang dengan Datuk Nash untuk membawakan lagu-lagu sentimental ketuhanan dan memperingati perjuangan mereka di Palestin.

“Ada beberapa cadangan lagu seperti Kepadamu Kekasih, Pada Syurga di Wajahmu dan Seruan. Selanjutnya masih dalam perbincangan kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Memberi sedikit gambaran pada persembahan malam itu, Nash berkata, dia akan mendendangkan beberapa lagu dari kumpulan Lefthanded mengenai perjuangan Palestin.

“Saya akan melakukan persembahan yang diamanahkan ini dengan sebaik mungkin. Saya dan Lefthanded sebelum ini pernah menghasilkan lagu mengenai peperangan dunia bertajuk Ya Maulana.

“Sekarang lagu itu kita tujukan kepada rakyat Palestin. Konsert amal seperti ini menjadi satu pendekatan terbaik untuk artis melakukan kerja kebajikan,” tambahnya.

Pengarah Program, Norhalim Norsip menyasarkan penjualan 80 meja yang boleh memuatkan 800 orang untuk acara itu nanti.

Menurutnya, 50 peratus hasil keuntungan daripada penjualan meja akan disalurkan kepada pusat tahfiz serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu Palestin.

“50 peratus daripada keuntungan bersih penjualan meja akan disalurkan ke Pusat Tahfiz dan beberapa lagi NGO yang bergerak aktif membantu masyarakat.

“Sebahagian daripadanya juga akan disalurkan juga tabung bantuan untuk rakyat Palestin,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN