Isu sepupu Chin Peng: Kelab DAP veteran buat laporan polis terhadap Siti Mastura - Utusan Malaysia

Isu sepupu Chin Peng: Kelab DAP veteran buat laporan polis terhadap Siti Mastura

HOCK Peng membuat laporan polis terhadap Siti Mastura di Balai Polis Kepala Batas, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kelab DAP Veteran Kebangsaan membuat laporan polis susulan dakwaan dibuat Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad berhubung dakwaan terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan komunis, Chin Peng.

Pengerusinya, Lay Hock Peng berkata, laporan itu dibuat supaya polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang itu kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

“Laporan ini juga sebagai laporan maklumat pertama untuk dikepilkan kepada laporan terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Saya percaya bahawa ucapan tersebut berniat jahat, berunsur fitnah dan dibuat dengan kesedaran dan secara sengaja untuk memecah keamanan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan boleh menyebabkan khianat awam di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.

“Ucapan Siti Mastura merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah jenayah terhadap individu-individu yang dilantik secara sah sebagai wakil rakyat,” kata Penolong Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang itu dalam kenyataan hari ini.

Ini merupakan laporan polis kedua dibuat pemimpin DAP selepas Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Brickfields di sini semalam.

Syerleena dalam laporan polisnya percaya kenyataan itu merupakan kesalahan bawah Seksyen 504 (pecah keamanan) dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (menyebabkan khianat awam).

Setakat ini, belum ada penjelasan rasmi daripada Siti Mastura mengenai dakwaannya, malah tiada seorang daripada pemimpin Pas yang tampil membelanya.

Semalam, Guan Eng memberitahu memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura selepas mendakwa beliau mempunyai hubungan kekeluargaan Chin Peng.

Katanya, beliau sudah melantik Datuk Sankara Narayanan Nair sebagai peguamnya untuk memulakan tindakan dan prosiding undang-undang terhadap Siti Mastura.

Katanya, tindakan itu berdasarkan ucapan kebencian Siti Mastura di Kemaman, Terengganu pada majlis Ameerah atau ahli wanita muda Pas pada 4 November lalu yang diselit dengan pembohongan keterlaluan dan fitnah jahat.

Beliau sebelum ini memberi masa dua hari (hingga Khamis lalu) untuk Siti mengemukakan bukti jika benar Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Beliau sebelum itu menunjukan klip video ucapan yang dimuat naik di media sosial menyaksikan Siti Mastura mengaitkan Guan Eng dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng dengan pemimpin DAP lain.

Pemimpin DAP yang disebut itu ialah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim; Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.

Bagaimanapun ketika ditemui pemberita sebelum ini, Siti Mastura nampaknya tidak gentar malah mengelak dari menjawab soalan yang ditanya pemberita.

Isu dakwaan Siti Mastura kemudian merebak dan panas dalam Dewan Rakyat selepas beberapa ahli parti DAP, menuntut penjelasan semasa beliau membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa, di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Bagaimanapun Siti Mastura tidak mengendahkan celahan itu dan meneruskan hujahan seperti biasa sehingga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mematikan pembesar suaranya seketika dan bertanya jika beliau mahu memberi orang lain mencelah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN