Basikal perlukan peruntukan ke Sukan SEA

Basikal perlukan peruntukan ke Sukan SEA

Sayuti Zahit
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan Majlis Sukan Negara (MSN) meluluskan peruntukan tambahan kepada skuad berbasikal lebuh raya negara dilihat bukan sahaja mengecewakan tetapi berpotensi mengekang peluang meraih pingat emas di Sukan SEA Thailand, Disember ini.

Meskipun Malaysia telah meraih enam pingat emas dalam acara ini sejak edisi 2015, nasib pasukan kali ini terumbang-ambing apabila permintaan bajet oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) ditolak secara mentah-mentah.

Pengarah Sukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Sayuti Zahit berkata, PKBM serta wakil dua pasukan profesional negara iaitu MPC dan Terengganu Cycling Team (TSG) telah mengemukakan permintaan secara lisan dalam satu mesyuarat bersama MSN baru-baru ini namun ditolak tanpa peluang untuk membentangkan kertas cadangan rasmi.

“Kami hanya sempat nyatakan secara lisan dan permintaan itu terus ditolak tanpa diberi ruang pun untuk bentangkan cadangan Sukan SEA.

“Kami perlukan basikal ujian masa baharu serta sedikit peruntukan sokongan kerana itu peluang terbaik negara raih emas, dan basikal itu juga boleh digunakan untuk edisi 2027,” kata Sayuti kepada Utusan Malaysia.

Kenyataan Sayuti itu nyata mencerminkan satu realiti pahit walaupun pelumba profesional banyak berjasa kepada negara, mereka tetap perlu mengemis dana dalam sistem yang sepatutnya menghargai sumbangan mereka.

“Mengikut keseluruhan, pelumba lebuh raya daripada pasukan profesional ini telah memenangi enam pingat emas Sukan SEA untuk negara dalam tempoh 10 tahun yang lalu kecuali edisi 2019 di Filipina.

“Tanpa basikal ini kami tidak dapat membuat persiapan sewajarnya dan tiada gunanya kami menghantar pelumba kami ke Thailand kerana peluang yang sangat terhad dalam perlumbaan lebuh raya.

“Sekiranya kami tidak mendapat berita yang positif bulan depan. Kami berkemungkinan akan menarik diri daripada Sukan SEA ini,” katanya.

Lebih mengecewakan, MSN memaksa PKBM untuk memilih hanya satu pasukan, sama ada TSG atau MPC sedangkan gabungan pelumba dari kedua-dua pasukan telah terbukti ampuh memenangi emas dalam dua edisi terakhir.

Kelmarin Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin mempertahankan keputusan itu dengan menyatakan, RM300,000 disalurkan kepada PKBM, jadi tidak timbul isu persiapan tidak cukup.

Namun hakikatnya, Naib Presiden PKBM Norazman Abu Samah mendedahkan daripada jumlah itu hanya tinggal berbaki RM196,000 selepas sebahagian besar telah digunakan untuk Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2025, yang secara tidak langsung mendedahkan betapa bajet tahunan ini tidak cukup untuk dua temasya besar.

Bagaimanapun Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill yang menjadi orang tengah dalam isu ini dalam kenyataan PKBM kelmarin, memberi jaminan Malaysia tetap akan menghantar skuad ke Thailand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN