Integriti ahli Parlimen berubah sokongan dipersoal

Integriti ahli Parlimen berubah sokongan dipersoal

WAN AHMAD WAN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbuatan perubahan pendirian dan sokongan oleh mana-mana ahli Parlimen tidak seharusnya berlaku kerana seorang wakil rakyat yang memenangi kerusi dalam pilihan raya di negara ini adalah kerana parti yang mendukungnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, tanpa dukungan parti yang mencalonkannya, agak sukar untuk calon menang dalam pilihan raya sekali gus kerusi yang dimenanginya menjadi milik parti di dalam Dewan Rakyat,

Maka, katanya, pendirian wakil parti berkenaan perlu selari dan tidak bercanggah dengan pendirian partinya walaupun ahli Parlimen bebas membuat pendirian dan sokongan, namun mandat rakyat yang memilihnya juga wajar dihormati.

“Beralih sokongan selepas dipilih menjadi ahli Dewan Rakyat boleh dilihat sebagai isu integriti seseorang wakil rakyat walaupun perbuatan beralih atau menukar sokongan dibenarkan dalam amalan demokrasi berparlimen.

“Pada masa sama, ia juga tidak terkait dengan larangan undang-undang lompat parti,” katanya di sini semalam.

Perkembangan politik tanah air ketika ini menyaksikan empat ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Ia selepas Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman serta terbaharu Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik turut berbuat demikian.

Selain empat nama berkenaan, bebe­rapa nama lain didakwa hanya me­nunggu masa sesuai untuk menyokong Keraja­an Perpaduan sekali gus memberi tampa­ran kepada parti tersebut dan ada yang menyifatkannya sebagai karma ekoran tindakan mereka menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata, umum berpendapat peralihan sokongan ini berpunca dengan hal-hal yang berkait dengan integriti, pecah amanah dan mungkin habuan dan rasuah di sebaliknya.

Justeru, katanya, amat wajar jika pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melihat perkara itu dari sudut tersebut.

Kata beliau, tanpa dukungan parti, tiada seorang pun ahli di Dewan Rakyat yang menang atas tiket persendirian.

Mengambil contoh sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Johor Bahru pada 1988 di mana Tan Sri Shahrir Samad menang bertanding sebagai calon Bebas, sehingga hari ini semua calon Bebas sama ada dalam Pilihan Raya Umum (PRU) atau PRK ditolak rakyat, kalah teruk dan hilang deposit.

“Ini merupakan hakikat bahawa wakil rakyat tidak harus beralih sokongan kepada parti lain selepas rakyat di kawasannya memilihnya dalam pilihan raya.

“Ia menjurus kepada pergolakan politik yang tidak sihat dan menggugat kestabilan politik negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN