Ibnor Reza mahu bekerja, cari pendapatan untuk rawat kanser - Utusan Malaysia

Ibnor Reza mahu bekerja, cari pendapatan untuk rawat kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ibnor Reza berharap muncul penganjur yang sudi menawarkannya kerja menyanyi bagi membolehkan dia mengumpul pendapatan untuk menampung kos rawatan kanser limfoma yang dihadapinya.

Kata penyanyi lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu, dia sebolehnya enggan meminta-minta, sebaliknya mahu menggunakan kudrat yang ada untuk kembali bekerja seperti sedia kala.

“Saya sebenarnya takut untuk meminta-minta (bantuan) dan tidak membenarkan mana-mana pihak yang tidak saya kenali untuk meminta sumbangan bagi pihak saya kerana semakin banyak kes-kes penipuan membabitkan scammer pada zaman sekarang.

“Setakat ini saya nak bekerja lebih-lebih lagi dengan keadaan saya sekarang yang sudah mampu untuk membuat persembahan.

“Justeru saya berharap mana-mana penganjur sudi panggil saya menyanyi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ibnor awal tahun ini tampil mendedahkan dirinya menghidap kanser limfoma dan perlu menjalani rawatan kimoterapi.

Kata pemilik nama sebenar Ibnor Reza Ibrahim ini, dia bersyukur kerana mampu menyanyi semula selepas berbulan-bulan kehilangan suara.

“Saya tak ada masalah untuk menyanyi, cuma badan lemah kerana kimoterapi.

“Tapi Alhamdulillah, suara saya sudah 80 peratus pulih.

“Apa pun saya kena berlatih untuk memastikan suara saya pulih sepenuhnya,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Ibnor memaklumkan keadaan emosi dan mentalnya stabil meskipun masih berperang dengan kanser tersebut.

“Awalnya memang saya down, lebih-lebih lagi selepas diberitahu doktor saya hanya ada enam bulan untuk hidup.

“Tapi saya berupaya untuk move on terutama sekali selepas kembali kepada agama.

“Saya yakin ajal di tangan Tuhan. Jangan pertikaikan ketentuan Allah dan paling penting, kita berusaha untuk sembuh. Saya serahkan semua kepadaNya,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN