Henti kecenderungan pertelingkahan dalam kalangan rakyat - TPM - Utusan Malaysia

Henti kecenderungan pertelingkahan dalam kalangan rakyat – TPM

ahmad zahid hamidi
AHMAD Zahid Hamidi menyerahkan sumbangan kepada penerima pada Majlis Santunan Kasih Deepavali 2023 di Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan pertelingkahan di kalangan rakyat sejak akhir-akhir ini yang bakal menimbulkan permasalahan serta menjurus kepada pertelingkahan fizikal.

Tanpa menyebut mana-mana pihak atau isu tertentu, Timbalan Perdana Menteri menyeru semua pihak khususnya pemimpin politik dan kaum agar berusaha untuk tidak menimbulkan ketegangan atau provokasi dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Langkah pembendungan harus dilakukan, bukan dengan kaedah undang-undang dan penguatkuasaan (semata-mata), (tetapi) ia hendaklah dilakukan dengan kesedaran.

“Kesedaran ini haruslah dimulakan di kalangan pemimpin-pemimpin, iaitu jangan dan tidak harus memprovokasi mana-mana pihak sama ada seteru politik atau seteru perkauman dalam politik,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali 2023 di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu meminta kesedaran untuk mengelakkan pertelingkahan itu harus dimulakan daripada sekarang.

Jelasnya, walaupun ada Kementerian Perpaduan Negara, semua pihak jangan berharap hanya kementerian itu sahaja memainkan peranan untuk mewujudkan keharmonian dalam negara, sebaliknya semua rakyat terutama pemimpin politik dan pemimpin kaum, harus ada kesedaran itu.

Beliau mengajak semua rakyat bersyukur berada di Malaysia kerana sehingga kini berjaya menyantuni perbezaan pendapat dan mengelakkan perselisihan yang boleh menimbulkan ketegangan, pertempuran seterusnya berlaku peperangan.

Menurutnya, semua pihak harus mengambil pengajaran akibat pertelingkahan sehingga membawa kepada perang saudara di banyak negara walaupun dihuni daripada satu kaum sahaja, kesan daripada perbezaan pendapat yang tidak disantuni.

Tegas beliau, keharmonian kaum dan agama telah wujud di negara ini sebelum merdeka lagi sehingga sekarang kerana adanya usaha menyantuni perbezaan pendapat.

“Kita lihat solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin hendaklah dicontohi, kita mengetepikan perbezaan pendapat dan warna politik dan perbezaan lain yang boleh mengakibatkan pertelingkahan,” ujarnya.

Beliau menerangkan apa-apa perayaan kaum dan agama di negara ini adalah perayaan yang harus disantuni oleh semua rakyat Malaysia.

Ahmad Zahid menjelaskan adalah perlu rakyat negara ini belajar daripada pengalaman daripada negara-negara yang mengalami masalah.

Beliau memberi contoh, sepatutnya di Palestin, orang Islam, Kristian dan Yahudi duduk bersama-sama, menghormati Masjid al-Aqsa dan penempatan masing-masing dan bukan dengan cara pencerobohan.

“Hamas bangun kerana tanah mereka diceroboh dan memperjuangkan hak rakyat Palestin, Hamas telah ditekan dan tekanan itu menyebabkan berlaku penentangan daripada Hamas dan sebelum itu kita pun tahu diperjuangkan oleh parti Fatah.

“Oleh itu, kita mahu rakyat Palestin diberikan hak, kita mahu tidak kira orang Islam, Kristian atau Yahudi duduk secara aman dan bukan menekan antara satu sama lain.

“Kita mahu Israel menghentikan peperangan terhadap rakyat di Gaza dan Tebing Barat, kita mahu rakyat Palestin dikembalikan haknya manakala tentera Israel berundur daripada bumi Gaza dan Tebing Barat, kita mahu hak rakyat Palestin yang tanah dan rumahnya dirampas, dikembalikan semula,” tegasnya.

Beliau memberitahu, Malaysia juga mahu Israel menghormati resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan yang ditekankan oleh masyarakat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya