BN mampu raih sokongan rakyat, peroleh mandat lebih kuat - Ahmad Zahid

BN mampu raih sokongan rakyat, peroleh mandat lebih kuat – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) diyakini mampu kembali meraih sokongan rakyat dan memperoleh mandat yang lebih kukuh pada pilihan raya akan datang sekiranya seluruh kepimpinan serta ahlinya terus bersatu dan mempertahankan semangat perjuangan parti.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu bakal berdepan pelbagai cabaran termasuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, namun beliau percaya BN mempunyai kekuatan, pengalaman dan sokongan yang mencukupi untuk terus relevan dalam landskap politik negara.

“Percayalah, perjalanan di hadapan tidak akan sentiasa mudah. Kita akan berdepan pelbagai medan sehingga medan terbesar PRU tidak lama lagi.

“Namun saya yakin, selagi kita teguh bersatu, setia kepada perjuangan, memahami denyut nadi rakyat serta terus bekerja dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab.

“Insya-Allah, Barisan Nasional akan terus kekal relevan, mendapat kepercayaan rakyat dan kembali memperoleh mandat yang lebih kukuh pada masa hadapan,” katanya menerusi hantaran dalam kenyataan di sini semalam.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, BN yang ditubuhkan 52 tahun lalu lahir daripada semangat persefahaman, kesederhanaan dan kesediaan untuk membina negara menerusi kerjasama pelbagai kaum serta latar belakang.

Katanya, sepanjang lebih lima dekad, BN melalui pelbagai fasa perjuangan termasuk memimpin negara dalam era pertumbuhan dan pembangunan serta berdepan pelbagai cabaran dan ujian yang mengajar erti ketabahan serta muhasabah.

“Namun satu perkara yang tidak pernah berubah ialah komitmen untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan mempertahankan kestabilan negara.

“Dalam landskap dunia yang semakin kompleks, rakyat mahukan politik yang matang, kepimpinan yang bertanggungjawab serta penyelesaian yang mampu menjawab cabaran semasa,” katanya.

Katanya, BN perlu terus bergerak ke hadapan dengan semangat pembaharuan, berpaksikan pengalaman dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan tuntutan masa depan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh pimpinan, ahli, jentera dan penyokong yang terus setia mendukung perjuangan BN.

“Kesetiaan, pengorbanan dan keyakinan mereka menjadi kekuatan yang menggerakkan BN sehingga ke hari ini.

“Selamat Ulang Tahun Barisan Nasional ke-52. Hidup Barisan Nasional!” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN