HATYAI, THAILAND: Hatyai di sini menjadi fenomena baharu apabila lokasi pelancongan utama itu sesak dengan pelancong khususnya dari Malaysia yang mengambil kesempatan cuti panjang bersempena perayaan Deepavali dan hujung minggu untuk berkunjung ke sana.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kawasan bandar Hatyai pada Sabtu dan semalam mendapati lokasi pelancongan, kedai makan dan hotel sekitar di situ penuh dengan kehadiran rakyat Malaysia malah, di jalan-jalan raya penuh dengan bas pelancong.
Malah, seawal pagi, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar sesak dengan ribuan pelancong termasuk yang menaiki ratusan bas dan kereta untuk ke Hatyai.
Di samping itu, tinjauan juga mendapati jualan tiket keretapi The State Railway of Thailand (SRT) ke Hatyai dari stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar juga laris terjual khususnya kepada pelancong Malaysia.
Beberapa lokasi sekitar Hatyai seperti Asean Night Bazar, Floating Market, Songkla Old Town, Samila Beach dan beberapa lagi menjadi antara tumpuan pengunjung negara ini yang bercuti ke sana.
Malah, penganjuran festival berhadapan dengan Lee Garden Plaza sepanjang cuti hujung minggu ini juga menjadi antara tarikan pelancong Malaysia bagi menikmati pelbagai makanan menarik yang disediakan.
Difahamkan, trip perjalanan singkat dan murah, makanan sedap dan tempat penginapan berpatutan telah menjadi tarikan buat rakyat negara ini untuk berkunjung ke Hatyai.
Seorang pelancong dari Kelantan, Nik Hasnah Wan Hamzah, 30, berkata, rakyat Malaysia lebih memilih untuk melancong ke Hatyai berbanding Langkawi disebabkan beberapa faktor antaranya bagi mendapatkan suasana percutian yang berlainan berbanding kebiasaan.
Katanya, dia sebelum ini pernah melancong ke Pulau Langkawi sebanyak tiga kali namun merasakan tiada tarikan baharu dapat memberikan kelainan sewaktu percutiannya itu.
“Jadi disebabkan itulah saya bersama keluarga pilih untuk melancong ke Hatyai pada cuti perayaan Deepavali ini bagi mencari kelainan yang ditawarkan di sini,” katanya.
Tambah Nik Hasnah, kos penginapan di Hatyai juga tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan Pulau Langkawi berdasarkan kepada nilai mata wang negara pada masa kini, namun makanan yang ditawarkan di sini agak berbaloi dan murah.
Katanya, dia juga menaiki keretapi ke Hatyai dari Stesen Keretapi Sungai Golok, Kelantan yang memakan masa selama empat jam dengan kos tiket hanya sekitar 50 baht (RM7).
“Kos pengangkutan menggunakan keretapi juga amat murah ke sini jika dibandingkan tempat lain, jadi kami mengambil peluang untuk mencuba pengalaman baharu bercuti ke Hatyai,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelancong, Nik Zainun Nik Helmi, 51, berkata, percutian ke Pulau Langkawi pada cuti Deepavali ini juga dilihat tidak bersesuaian berikutan musim tengkujuh yang dilaporkan bermula pada Sabtu lalu.
Katanya, situasi itu menyebabkan pelbagai aktiviti pantai tidak dapat dilaksanakan mengikut perancangan berikutan faktor cuaca.
“Disebabkan itu saya bersama keluarga membuat keputusan bercuti ke sini untuk mencuba pelbagai makanan ditawarkan di sini di samping membeli-belah,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pelancong dari Kedah, Muhammad Zakwan Abd Rashid, 39, berkata, dengan membelanjakan wang sebanyak RM1,000, dia mampu membawa isteri dan dua anaknya bercuti ke Hatyai selama tiga hari dua malam.
Ujarnya, situasi ini berbeza sekiranya dia melancong ke Pulau Langkawi memandangkan kos melancong ke pulau peranginan itu agak tinggi khususnya pada cuti perayaan mahu pun persekolahan.
“Memang mata wang kita sedikit rendah namun perbelanjaan di sini lebih jimat berikutan kosnya tidak terlalu tinggi dari segi makanan, penginapan, pengangkutan dan lain-lain,” katanya.-UTUSAN










