Harga ayam masih stabil, bekalan cukup

Harga ayam masih stabil, bekalan cukup dan terkawal

Chan Foong Hin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekalan dan harga ayam masih dalam keadaan terkawal walaupun kerajaan menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam berkuat kuasa 1 November lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, kementerian melaksanakan tinjauan pada hari pertama pengapungan harga ayam di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Putrajaya untuk melihat ketersediaan dari segi bekalan dan harga yang ditawarkan di pasaran.

“Harga secara dasarnya berada di antara RM7.39 hingga RM9.40. Kita berharap bekalan dan harga akan terus stabil, selaras dengan komitmen pihak industri melalui sesi libat urus yang diadakan pada 22 Oktober lepas,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan bersetuju subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan berkuat kuasa pada 1 November 2023.

Susulan itu, ia menjimatkan sebanyak RM100 juta sebulan yang membolehkan kerajaan meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai.

Foong Hin berkata, harga ayam secara keseluruhan masih berada pada kadar yang berpatutan dan tiada kenaikan harga di sepanjang rantaian nilai.

Katanya, rakan industri juga memberi jaminan melalui beberapa sesi libat urus bahawa bekalan ayam adalah mencukupi.

Menurut beliau, selain akses kepada bekalan ayam di pasar raya dan kedai runcit, pihak kementerian turut mengadakan Jualan Agro MADANI bagi jualan ayam pada harga yang berpatutan untuk membantu rakyat.

“Dalam masa sama, KPKM melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mengadakan Jualan Agro MADANI di 277 lokasi di seluruh negara untuk kemudahan rakyat,” ujarnya lagi.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN