MELAKA: Harga ayam di negeri ini masih murah iaitu antara RM7.39 sehingga RM9.40 sekilogram walaupun kerajaan menamatkan harga kawalan dan pemberian subsidi sepenuhnya bermula hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, hasil pemantauan di tiga premis berasingan mendapati ayam segar di pasar awam dijual antara RM8.90 hingga RM9.40 sekilogram sementara RM7.39 sekilogram di pasar raya besar.
Kata beliau, pelanggan di pasar awam masih boleh tawar menawar dengan penjual bagi mendapatkan harga yang lebih murah.
“Terdapat perbezaan harga ayam di pasar awam dan pasar raya besar. Saya beri jaminan bahawa ayam di pasar raya besar adalah ayam segar dan bukan stok lama.
“Hal ini kerana ramai yang beranggapan kalau (harga) ayam murah, ia adalah stok lama dan ini kita nafikan.
“Selain itu, bagi pengguna yang pergi ke pasar awam, mereka boleh tawar menawar dengan peniaga. Contohnya, kalau beli dua ekor ayam mereka mungkin hanya perlu membayar RM8.50 sekilogram berbanding harga sebenar RM8.90 sekilogram,” katanya dalam sidang akhbar pemantauan harga ayam oleh KPDN Melaka di sini, hari ini.
Tambah Norena, seramai 21 pegawai pemantau harga dan penguat kuasa KPDN akan ditugaskan memeriksa harga ayam setiap hari.
Katanya, sekiranya terdapat peningkatan harga yang begitu tinggi melebihi RM9.40 sekilogram, maka, satu Akta Perlindungan Pengguna (APP) akan dikenakan kepada peniaga untuk serahan notis bagi menentukan wujud elemen pencatutan atau tidak.
Dalam pada itu, mengenai aduan berkaitan ayam, Norena berkata, pihaknya menerima lima aduan rasmi berkaitan harga ayam setakat kelmarin.
Menurutnya, daripada jumlah itu, dua aduan menghasilkan kes di bawah Seksyen 12(1) APP 1999 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Dua kes tersebut berkaitan gambaran mengelirukan mengenai harga dan kesalahan tiada tanda harga. Tiga lagi aduan berkisar pertanyaan umum mengenai harga ayam di pasaran dan tiada tindakan diambil,” ujarnya. -UTUSAN










