KUALA LUMPUR: Polis tidak dapat mendedahkan identiti Mr. H yang didakwa mendalangi rakaman video perbualan lucah membabitkan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Mohammad Agus Yusoff dengan seorang lelaki atas faktor keselamatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, walaupun individu berkenaan telah tampil, polis belum dapat mengesahkan individu yang hadir memberikan keterangan adalah Mr. H.
Ini kerana, kata beliau, Mr. H yang dirakam keterangan berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Mohamad Agus bukan pegawai J-Kom Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.
“Hanya Abdul Wahab boleh sahkan siapa Mr.H. Kita masih belum berjumpanya. Identiti Mr. H ini kita tidak dapat dedahkan bukan sahaja atas faktor keselamatan, malah dalam konteks siasatan itu sendiri, ia boleh menjejaskan siasatan yang dilakukan.
“Kemudian timbul lagi banyak spekulasi yang menyukarkan lagi siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini
Mengulas lanjut, kata beliau, keterangan empat individu telah diambil polis sejak laporan polis dibuat oleh Mohamamad Agus.
Kata beliau, keterangan yang diambil iaitu pengadu (Mohammad Agus); Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard; Mr. H dan pekerja hotel bagi mengesahkan berlaku sidang media baru-baru ini.
“Kita masih cuba menjejaki Abdul Wahab menerusi peguamnya dan menyakinkan beliau jaminan keselamatan terhadapnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, pihaknya masih menunggu keputusan daripada pakar kesahihan video yang didakwa disunting itu.
Terdahulu, rakaman video berdurasi tiga minit yang tular sejak Khamis lalu menjadi topik hangat dalam media sosial, berikutan individu berkenaan dikenali umum.
Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.
Pada sidang media khas berhubung isu itu, pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video tular itu, Abdul Wahab mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr. H. – UTUSAN










