BESUT: Seorang pengusaha pusat rekreasi di Hulu Besut dekat sini mengambil inisiatif menggunakan siren pembesar suara untuk memberi amaran sekiranya berlaku kepala air kepada pengunjung kawasan tersebut.
Pengarah Urusan Lata Kolam Air Deru Ecopark, Kaswadi Harun berkata, pendekatan itu dilakukan bagi memastikan keselamatan pengunjung terutama pada musim tengkujuh ini.
Menurutnya, pihaknya akan mempertingkatkan aspek keselamatan di hutan lipur tersebut dengan menetapkan beberapa garis panduan tambahan untuk pengunjung berbanding hari biasa.
“Ketika Musim Timur Laut (MTL) ini, kita memang memandang serius dan menekankan aspek keselamatan dengan mengambil kira berkemungkinan berlaku kejadian kepala air dalam tempoh tersebut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Kaswadi berkata, seramai dua life guard dan 10 petugas ditempatkan di kawasan peranginan itu bagi memantau keadaan semasa.
Jelasnya, petugas tersebut juga telah menjalani latihan keselamatan untuk menangani sebarang kejadian yang mungkin berlaku termasuk kepala air di kawasan rekreasi tersebut.
“Petugas-petugas ini kita tempatkan di tiga lokasi utama iaitu di Pengkalan Suri, Pengkalan Dua serta Pengkalan Raja, Apabila berlaku hujan di kawasan hulu sungai, siren akan dibunyikan untuk memberi amaran kepada pengunjung.
“Kita akan pastikan dalam tempoh singkat semua pengunjung mengosongkan kawasan sungai dan tiada sebarang aktiviti di air sepanjang tempoh hujan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Kaswadi menambah, semua aktiviti air melibatkan sungai serta air terjun hanya dibenarkan bergantung kepada situasi keadaan cuaca semasa bermula November ini hingga Februari tahun depan.
Katanya, walaupun aktiviti sungai tidak dibenarkan kepada pengunjung pada MTL ini, mereka tetap mempunyai pilihan melakukan aktiviti di darat. – UTUSAN










