ALOR GAJAH: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sabtu ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau bagaimanapun enggan meramalkan majoriti yang akan diperoleh parti itu susulan pertembungan tiga penjuru yang turut membabitkan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).
“Saya baru balik dari Bintulu, Sarawak dan sampai di sini (Melaka) malam tadi kerana ada tugas sedikit sebagai Setiausaha Agung GPS. Peluang sangat cerah, tetapi, saya tidak mahu buat andaian berapa peratus atau majoriti yang akan kita dapat.
“Kalau boleh, kita nak menang besar baru bergaya sikit,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar Majlis Penganugerahan Sijil Kompetensi Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia Tahun 2023 di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) di sini, hari ini.
PRK DUN Jepak menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon GPS, Iskandar Turkee dengan calon ASPIRASI, Chieng Lea Phing dan calon PBK, Stevensen Joseph Sumbang.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 4 November ini manakala 31 Oktober lalu sebagai tarikh pengundian awal melibatkan seramai 22,804 pemilih.
Kerusi DUN Jepak diisytiharkan kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak 2021, Talib mengekalkan kerusi Jepak dengan 6,277 undi, menewaskan Rabaah Tudin dari Parti Sarawak Bersatu (2,034 undi), Stevenson dari PBK (587 undi) dan calon bebas, Tuah Kazan (141 undi).-UTUSAN