Gesek...90 tahun masih jadi pilihan

Gesek 90 tahun masih jadi pilihan, mancis cap lada kekal relevan

DUA pekerja wanita tempatan memasukkan batang-batang mancis secara manual ke dalam kotak mancis cap lada keluaran syarikat Kelantan Match Factory di Sungai Keladi, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Hampir satu abad mancis atau gesek Cap Lada keluaran Kelantan Match Factory adalah barangan perlu yang cukup dekat dengan masyarakat dan boleh dikatakan pada satu ketika ia mesta ada dalam poket setiap rakyat.

Gesek dalam dialek Kelantan yang juga dipanggil mancis atau penggores api merupakan sum­ber utama penduduk untuk mendapatkan api bertujuan menghidupkan dapur bagi memasak, lilin menerangi di kala malam, membakar sampah dan sebagainya.

Bagi golongan nelayan di Pantai Timur, Gesek Cap Lada memang pilihan mereka kerana belerangnya lebih panjang untuk memberi nyalaan lebih lama ketika digunakan di atas bot.

Peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh gesek cukup penting apabila orang ramai menganggap ia keperluan utama dan perlu ada sepanjang masa.

PEKERJA wanita giat melakukan kerja-kerja menampal jenama pada kotak mancis atau gesek Cap Lada di Kelantan Match Factory, Sungai Keladi. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Bagaimanapun, kemasukan pe­metik api pada harga mam­pu milik sekitar tahun 1995 telah mengambil peranan gesek sebagai sumber utama api masyarakat sebelum itu.

Bentuk fizikal pemetik api yang kecil, mudah dibawa serta cecairnya yang boleh dibuat isian semula menyebabkan permintaan terhadap barangan itu meningkat dengan menda­dak.

Sungguhpun begitu, peranan dimainkan oleh gesek kekal re­le­van sehingga hari ini apabila kilang menghasilkan bahan api yang terletak di Sungai Keladi dekat sini masih kukuh bertahan walaupun sudah berusia 90 tahun bermula 1933.

1.2 juta kotak gesek dihasilkan sebulan

Di sebalik kehadiran pemetik api, permintaan orang ramai terhadap gesek masih lagi tinggi sekali gus membuktikan peranan itu masih kekal utuh dalam kalangan masyarakat.

Situasi itu dapat dilihat apabila para pekerja di Kelantan Match Factory tekun memenuhi permintaan terhadap barang tersebut.

WEE menunjukkan gesek Cap Lada keluaran Kelantan Match Factory di Sungai Keladi, Kota Bharu. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurusnya Wee, 74, berkata, setiap bulan sebanyak 1.2 juta kotak gesek Cap Lada dihasilkan oleh pihaknya.

Menurutnya, jumlah tersebut bagi menampung permintaan pengguna dan pasaran gesek Cap Lada meliputi seluruh Semenanjung Malaysia.

“Ketika ini kami mempunyai seramai 28 pekerja yang berusia 30 sehingga 76 tahun. Rata-rata mereka ini adalah penduduk di kawasan sekitar.

“Kami beroperasi setiap hari bermula 8.30 pagi kecuali pada hari Jumaat,” katanya.

Kilang tunggal di Malaysia

Wee berkata, kilang di atas tanah seluas 1.12 hektar itu memulakan operasi pada 1933 lalu menjadi perusahaan mancis tunggal di negara ini yang masih bertahan.

Katanya, struktur bangunan asal masih lagi dikekalkan sekali gus memberi isyarat gesek Cap Lada akan terus bersaing dalam mendepani cabaran dunia hari ini.

“Kawasan ini kita ada tiga bahagian yang mempunyai peranan masing-masing dan berbeza iaitu menghasilkan kotak, batang dan bahagian pembungkusan,” ujarnya.

Kualiti ‘kunci’ kekal bertahan

Wee mendedahkan kualiti dalam menghasilkan gesek menjadikan jenama itu mampu bertahan lebih lama di pasaran sekali gus bersaing dengan pemetik api lain.

Katanya, proses pembuatan gesek kini menggunakan kayu terentang atau kayu simpul paya yang didapati dari hutan di Terengganu dan Pahang.

“Penghasilan itu bermula dari penghasilan kotak apabila sekeping kayu nipis dilipat, digam dan dibalut kertas sebelum dijemur,” katanya.

GESEK keluaran Kelantan Match Factory yang sedia dipasarkan kepada pelanggan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Ujarnya, kotak-kotak tersebut kemudian dikeringkan menggunakan mesin pengering sebelum proses diteruskan bagi menghasilkan bahagian dalamnya.

Wee berkata, selepas itu kerja-kerja menampal label pada kotak dan kemudiannya melekatkan slide pasting bagi meletakkan striking area di kedua-dua sisi kotak tersebut.

Katanya, striking area yang mempunyai campuran bahan karbida akan menyebabkan mancis menyala apabila berlaku geseran.

“Penghasilan batang mancis dilakukan di kilang berbeza. Batang mancis akan dicelup ke dalam lilin menggunakan dipping machine. Kepala batang mancis itu kemudian akan dicelup ke dalam lapan jenis bahan kimia,” katanya.

Wee berkata, selepas itu ia akan dikeringkan dan dimasukkan ke dalam filling machine untuk diisi ke dalam kotak mancis yang sudah siap akan diedarkan ke pasaran kemudiannya.

Harap kekal bertahan

Seorang pengguna gesek cap lada, Abdullah Yaacob, 76, berharap jenama itu akan terus kekal bertahan pada masa hadapan.

Katanya, walaupun berdepan saingan daripada pemetik api namun gesek tetap mempunyai peminat yang tersendiri.

“Macam saya, saya lebih suka guna gesek sebab ia lasak. Walaupun basah terkena air, namun bila dijemur ia boleh digunakan semula.

“Lagi satu, ia mempunyai nilai sentimental buat saya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN