Empangan mini rosak jejas bekalan air Kampung Perlok Hilir, Jerantut

Empangan mini rosak jejas bekalan air Kampung Perlok Hilir, Jerantut

ZURIDAN Mohd. Daud (kiri) bersama penduduk meredah hutan meninjau masalah bekalan air di Kampung Perlok Hilir di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kira-kira 200 penduduk daripada 40 buah rumah di Kampung Perlok Hilir, mukim Ulu Cheka di sinI kerap mengalami masalah terputus bekalan air berikutan paip tersumbat dan empangan mini rosak di Kampung Perlok Hilir, mukim Ulu Cheka di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kampung Perlok Hilir, Kamaruddin Jali berkata, masalah itu dihadapi sejak setahun lalu berikutan paip poli yang dipasang ke kawasan tadahan air sejauh tiga kilometer kerap tersumbat kemungkinan sudah lalu lama dan sampah sarap.

“Hal ini juga berlaku kerana empangan mini yang menadah air kawasan bukit yang dialirkan ke rumah kami yang dibina 15 tahun lalu tidak mampu menampung kapasiti air kerana dipenuhi pasir, sampah sarap dan rosak,” katanya di Kampung Perlok Hilir di sini semalam.

Menurut Kamarudin, penduduk di situ mempunyai seramai 500 orang, tetapi cuma 40 buah rumah tidak disambung bekalan air daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) walaupun pernah dipasang meter.

Dia berkata, penduduk bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd. Daud sudah meredah hutan sejauh tiga kilometer untuk memeriksa lokasi tadahan air, kerosakan empangan mini dan paip poli untuk dibaik pulih.

Rakannya, Ishak Ibrahim menambah, penduduk juga hairan kenapa kediaman mereka tidak disambung bekalan air bersih oleh Paip sedangkan sebahagian penduduk di situ dan kampung berdekatan sudah menikmati bekalan air yang selesa.

“Oleh kerana tidak menerima bekalan daripada pihak berkenaan terpaksalah kami mencari dana berjumlah RM7,000 sama ada masing-masing mengeluarkan wang sendiri termasuk ihsan penderma serta bantuan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak untuk membina semula empangan mini serta menggantikan paip poly yang baharu ke rumah.

“Kami terpaksa meredah hutan bersama wakil rakyat kawasan Damak untuk melihat sendiri keadaan kerosakan dan akan melakukan kerja secara bergotong-royong apabila dana mencukupi untuk membeli peralatan poly baharu dan membina mini empangan,” katanya.

Sementara itu, Zuridan menjelaskan, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Damak sudah melancarkan Projek Wakaf Air 3.0 untuk mengajak orang ramai supaya membantu penduduk Kampung Perlok Hilir yang mengalami ketiadaan bekalan air.

“Setelah dana wakaf berjaya dikumpul, saya dan penduduk akan bergotong-royong membina empangan baharu termasuk memasang paip poly supaya bekalan air lancar sampai ke kediaman mereka.

“Pusat Khidmat Masyarakat DUN Damak menubuhkan Projek Wakaf 3.0 berikutan tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri sedangkan ramai penduduk kerap merayu ketiadaan bekalan air termasuk di sesetengah tempat juga berlaku kerosakan jalan kampung dan pembetung,” katanya.

Ujarnya, Projek Wakaf 3.0 antara usaha mendapatkan dana dengan kerjasama serta ihsan semua pihak termasuk para dermawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu membina atau membaik pulih kemudahan asas termasuk masalah air yang kerap berlaku di kawasan Damak.

Orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah membantu dana projek bekalan air penduduk Kampung Perlok Hilir boleh menghubungi Saripah Fadhilah Syed Mahmad Hadzari menerusi talian 0132037626 atau sumbangan terus ke akaun Bank Islam bernombor 06055010034031 (Tetuan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Damak). -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya