Duit belanja cukup cukup, pelajar IPT manfaatkan aplikasi

Duit belanja cukup cukup, pelajar IPT manfaatkan aplikasi Tiktok cari duit sampingan

ADA kalangan pelajar IPT memanfaatkan aplikasi bagi mencari wang sampingan.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) turut tidak terlepas daripada kesan kos sara hidup apabila ada kalangan mereka kini mencari duit sampingan bagi menampung perbelanjaan harian.

Hal itu telah mendorong pelbagai inisiatif bagi mengurangkan beban mereka dan pada masa yang sama semakin ramai berusaha berbuat sesuatu bagi mencari duit sampingan.

Pelajar Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Siti Nadhirah Md. Jasnin, 22 berkata, kekangan dari segi kewangan menjadi faktor utama untuk mencari  sumber pendapatan lain kerana kehidupan di bandar memakan jumlah yang banyak.

“Duit belanja yang diperoleh daripada ibu bapa sekadar cukup-cukup makan sahaja dan dalam masa yang sama perlu berjimat untuk memastikan keperluan pembelajaran seperti buku dapat dibeli,” katanya ketika dihubungi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini mendedahkan, lebih 460,000 pelajar di IPT adalah daripada keluarga B40, membabitkan 385,555 di IPT awam (IPTA) dan 83,503 lagi di IPT swasta (IPTS).

Sementara itu, pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM), Farzana Fakhira Aznan, 25 berkata, media sosial membuka peluang kepadanya untuk mencari pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan sepanjang semester berlangsung.

Katanya, kos sara hidup yang tinggi di ibu kota selain tinggal berjauhan dengan keluarga menjadikan pendapatan secara dalam talian melalui aplikasi seperti TikTok yang antara salah satu cara termudah untuk mendapatkan wang.

“Saya menggunakan kemudahan sedia ada di aplikasi TikTok seperti ciri beg kuning, iaitu saya mendapat komisen bagi setiap penglibatan dan pembelian,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Wan Aiman Shafiq W Shamsul, 19 berkata, sebagai pelajar jurusan perniagaan, dia secara tidak langsung turut terpengaruh dengan rakan sebaya yang turut menjalankan perkara sama selain program galakan daripada universiti.

Katanya, perniagaan nasi ayam goreng kunyit yang dijalankan adalah demi menyimpan untuk masa hadapan selain minatnya dalam memasak dan berniaga.

“Separuh keuntungan dari perniagaan akan saya simpan di Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan gunakan selebihnya untuk perbelanjaan lain,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Bahrin berkata, kemelesetan ekonomi menjadi punca utama kepada rakyat yang terjejas dari segi kos sara hidup termasuklah mahasiswa.

Menurutnya, mahasiswa hari ini khususnya golongan B40 perlu mencari jalan untuk meneruskan hidup kerana pembiayaan yuran, perbelanjaan runcit dan makanan harian menjadi komitmen kepada mahasiswa semasa belajar. 

“Berdasarkan pemerhatian MPP USIM, ramai pelajar yang bekerja pada hujung minggu dan ada yang melakukan lebih daripada satu pekerjaan sehari sehingga meletihkan pelajar ketika mana perlu ditambah lagi dengan masa mengurus hal akademik,” katanya.

Shamsul berkata, Job@Campus perlu dikuat kuasakan secara menyeluruh dengan kerjasama pelbagai pihak dan bukan sekadar keusahawanan bahkan peluang pekerjaan dari sudut pengurusan pejabat dan tatakelola prosedur. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya