DSA, NATSEC 2024 terima sambutan menggalakkan

DSA, NATSEC Asia 2024 terima sambutan menggalakkan

PENYERAHAN kontrak penyertaan bagi DSA dan NATSEC ASIA 2024 daripada Pengarah Urusan MILDEF International Technologies Sdn. Bhd, Salimuhar Mohd. Ali (kanan) kepada Nazeem Abdul Rahman (kiri)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kunjungan dan lawatan wakil Kementerian Pertahanan yang diketuai Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Isham Ishak ke Defense & Security 2023 di Bangkok Thailand mampu menarik minat lebih ramai pempamer Pameran Pertahanan Asia (DSA) & Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC ASIA) 2024.

Malah kunjungan yang turut di sertai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohammad Ab Rahman ini turut menyaksikan penyampaian kontrak penyertaan daripada beberapa syarikat antaranya Ikramatic Systems Sdn Bhd; Mildef International Technologies; OpenApps Sdn Bhd; System Consultancy Services Sdn. Bhd; Kemalak Group; Ketech Asia; dan Beijing Bunch Exhibition Services yang mewakili pavilion China.

Lebih banyak syarikat dijangka menandatangani kontrak penyertaan pada hujung tahun ini.

ISHAM Ishak (tengah) bersama Mohammad Ab Rahman (empat dari kanan) pada Majlis
Perasmian Pavilion Malaysia sempena pameran Defense & Security,
di Bangkok, Thailand.

Sementara itu sebanyak 90.4 peratus peserta Pameran Pertahanan Asia (DSA) & Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC ASIA) pada tahun lalu telah menyatakan hasrat untuk menyertai semula pameran berkenaan tahun ini.

Menurut Pengarah Eksekutif DSA, Nadzeem Abdul Rahman, maklum balas positif itu diterima selepas melihat kejayaan penganjuran sebelum ini yang terbukti antara platform terbaik pemain industri pertahanan berkumpul dan bertukar pandangan.

Selain itu katanya, penganjuran DSA dan NATSEC ASIA juga merupakan medan bagi pemain industri, kerajaan dan agensi pertahanan serta keselamatan dari pelbagai negara berbincang membina kesefahaman dan kerjasama.

“Persediaan bagi penganjuran edisi DSA dan NATSEC Asia 2024 yang dijangka diadakan pada 6 hingga 9 Mei telah pun bermula dengan penganjur bersedia memberikan segala yang terbaik untuk edisi akan datang.

“Ia demi memastikan dapat membina ketahanan negara untuk generasi masa hadapan dengan pertumbuhan mampan yang memerlukan kestabilan, keamanan, keselamatan dan keharmonian. Hal ini adalah penting bagi sesebuah negara untuk membina daya tahan bagi memastikan kestabilan dan masa hadapan sesebuah negara,” katanya dalam pelancaran Malaysia Pavilion di Defense & Security, Thailand baru-baru ini.

ISHAM Ishak menyempurnakan perasmian Pavilion Malaysia
sempena pameran Defense & Security 2023 di Bangkok, Thailand

Setakat ini antara pihak yang telah mengesahkan penyertaan dalam DSA & NATSEC Asia 2024 ialah Roketsan Missiles Inc, CANiK (Samsun Yurt Savunma A.S), FNSS, Aselsan, East Gear International dan SWAT Footwear (M) Sdn Bhd, International Securities Sdn Bhd (ISC).

Sebagai rekod dalam edisi lalu, sebanyak 380 delegasi kenamaan luar negara daripada 34 negara dan 35,567 pelawat perdagangan menghadiri DSA dan NATSEC ASIA bagi menyaksikan pameran teknologi, sistem, perkakasan dan peperangan elektronik paling maju di dunia.

Dalam pada itu, Nadzeem berkata, menerusi edisi DSA dan NATSEC Asia 2024, pameran dan persidangan ini akan mengetengahkan tema ‘Membina Ketahanan Negara untuk Generasi Masa Hadapan’ bagi membincangkan isu kritikal semasa dan mencadangkan formulasi terbaik yang dapat menjamin kestabilan bagi generasi masa hadapan.

“Semua negara beraspirasi untuk mencapai kestabilan dan kemajuan. Pertahanan dan keselamatan sesebuah negara perlu dilihat sebagai satu pelaburan.

“Hanya negara yang melabur secara strategik bagi sektor pertahanan dan keselamatan dalam negeri akan dapat menghasilkan angkatan berkredibiliti sekali gus dapat melindungi kedaulatan negara demi memastikan rakyat hidup dengan aman dan menikmati kemakmuran ekonomi,” jelasnya.

Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini, Kerajaan Malaysia mengumumkan peruntukan untuk Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memperkasa sektor pertahanan serta keselamatan.

Menerusi pembentangan tersebut, Kementerian Pertahanan akan menerima peruntukan sebanyak RM19.7 bilion dengan kenaikan sebanyak RM 2 bilion berbanding tahun lalu manakala KDN pula akan menerima peruntukan sebanyak RM19 bilion dengan pertambahan RM500 juta.

Berdasarkan pelan perolehan menyeluruh Kerajaan Malaysia, ia merangkumi pelbagai jenis aset-aset penting bagi setiap agensi berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya