Dr Adeeba Kamarulzaman dinobat Tokoh Akademik Negara

Dr Adeeba Kamarulzaman dinobat Tokoh Akademik Negara

MOHAMED Khaled Nordin (dua kiri) menyerahkan Anugerah Tokoh Akademik Negara kepada Dr. Adeeba Kamarulzaman DALAM pada Majlis Anugerah Akademik Negara ke-15 di ibu negara malam tadi -UTUSAN FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakar penyakit berjangkit, Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara.

Anugerah itu diberikan sempena sumbangannya sebagai seorang pakar perubatan serta pelopor program pengawalan penyakit berjangkit di negara ini

Beliau telah bertanggungjawab menubuhkan Unit Penyakit Berjangkit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 1996 serta Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dalam AIDS
(CERiA) di Universiti Malaya pada 2008.

Hasil kepimpinan dan sumbangannya, CERiA telah menjadi satu daripada pusat rujukan HIV/AIDS terkemuka di negara ini.

Di peringkat antarabangsa, beliau merupakan anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Global berkaitan Polisi Dadah.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam majlis penyampaian Anugerah Akademik Negara Ke-15 di ibu negara malam tadi.

Penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara menerima hadiah wang tunai RM200,000 beserta trofi dan sijil.

Di samping itu, seramai lima orang ahli akademik juga telah dinobatkan sebagai penerima anugerah.

Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal untuk kategori Bidang Sains dimenangi oleh Prof. Madya Dr. Tan Jun Jie dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Anugerah Penerbitan Buku pula diterima oleh Prof. Dr. Shamsul Bahri Abdul Razak dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Tiga lagi anugerah dikuasai ahli-ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Anugerah Pengajaran Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan dimenangi oleh Prof. Madya Dr. Adibah Abdul Latif.

Anugerah Pengajaran Kelompok Sains Gunaan pula diterima oleh Dr. Norliza Mohd. Isa manakala Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk dimenangi Ts. Dr. Mariani Abdul Hamid.

Anugerah Akademik Negara adalah acara tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi dan merupakan program kemuncak bagi Sambutan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023.

Program ini merupakan pengiktirafan tertinggi khusus untuk para ahli akademik sebagai menghargai kecemerlangan dan sumbangan mereka dalam melonjakkan nama institusi pendidikan tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya