DEWAN RAKYAT: Tiada peruntukan baharu untuk promosi pencapaian Kerajaan Madani - Utusan Malaysia

DEWAN RAKYAT: Tiada peruntukan baharu untuk promosi pencapaian Kerajaan Madani

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri memberitahu, kerajaan tidak menyediakan peruntukan baharu bagi kerja-kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian sepanjang 2023.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan hanya meneruskan kontrak dibuat oleh Kabinet terdahulu iaitu RM700 juta bagi tujuan tersebut.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Kementerian Kewangan supaya hanya meluluskan peruntukan tidak melebihi RM100 juta pada tahun depan bagi tujuan promosi dan publisiti itu.

“Sejak 2020 hingga tahun lalu, sebanyak RM700 juta dibelanja kerajaan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi tujuan berkenaan.

“Ia bermakna hampir lebih RM500 juta dibelanjakan ketika Pagoh (Muhyiddin) dan selebihnya oleh Bera (Ismail Sabri), tetapi Bera tidak belanja setinggi itu sebab ada lebihan.

“Namun, bagi saya, ini melanggar peraturan, tata kelola dan keterlaluan. Sementara kita anggap penjelasan itu perlu, saya tidak fikir kerajaan harus dibebani dengan iklan dan publisiti tambahan untuk promosi.

“Selain daripada program kita turun ke bawah menyantuni rakyat dan menerangkannya melalui media massa dan media sosial,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan P. Prabakaran (PH-Batu) yang mahu tahu jumlah keseluruhan yang dibelanja kerajaan untuk kerja-kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital dan juga media televisyen sepanjang tahun sejak tahun 2020 hingga kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN