KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia hanya memberi bantuan dari aspek perundangan dalam usaha menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) membuka siasatan terhadap krisis antara Palestin-Israel walaupun bukan menjadi antara negara anggota Statut Rom.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bagaimanapun menyokong usaha beberapa negara yang menggesa ICC membuka siasatan terhadap perang Palestin-Israel.
Katanya, bantuan dari aspek perundangan itu juga dibenarkan menyaksikan Malaysia melalui wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) turut hadir dan membantu pasukan dalam ICC.
“Kita tidak mengusulkan kepada ICC, tetapi tetap hadir dan membantu daripada aspek pasukan perundangan, malah, pada pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan (Presiden Turkiye) jika ada keperluan kerjasama untuk hadir sidang ICC, kita nyatakan Malaysia akan hadir.
“Saya juga sudah jelaskan di dewan ini (Dewan Rakyat) sudah ada perwakilan kita hadir membantu dari aspek perundangan di ICC sebelum ini dan ini tidak jadi masalah dan ia sudah pun kita lakukan,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal [PN-Machang] berhubung pendirian Malaysia dengan tindakan membawa isu Palestin ke ICC.
Baru-baru ini, lima negara termasuk Afrika Selatan, Bangladesh, Bolivia, Comoros dan Djibouti menggesa ICC membuka siasatan terhadap perang Israel-Palestin yang menyebabkan ribuan nyawa terkorban.
Ketua Pendakwa Raya ICC, Karim Khan berkata, lima negara itu yang juga ahli ICC mahu siasatan dibuat berhubung konflik ketika melanda Gaza, Palestin.
Anwar bagaimanapun menegaskan kerajaan tiada sebarang keputusan dan konsensus berhubung penyertaan dalam Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Beliau sebaliknya mengalihkan perhatian itu kepada Ahli Parlimen Indera Mahkota merangkap bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah kerana beliau yang bertanggungjawab berhubung perkara itu semasa pentadbiran Kabinet terdahulu.
“Perkara berhubung Statut Rom dan ICERD perlu ditanyakan kepada Ahli Parlimen Indera Mahkota (Datuk Seri Saifuddin Abdullah) kerana dia yang bawa dulu tanpa mendapat kelulusan Kabinet,” katanya.-UTUSAN










