DEWAN RAKYAT: Kaedah salur, kekerapan agihan bantuan dikaji 

DEWAN RAKYAT: Kaedah salur, kekerapan agihan bantuan elak rakyat terbeban sedang dikaji 

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bantuan secara tunai atau menggunakan platform e-dompet antara kaedah yang boleh digunakan kerajaan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat supaya tidak terbeban dengan jangkaan kenaikan harga barang.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan bagaimanapun masih mengkaji kaedah yang mampan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat serta kekerapan pengagihan supaya penerima bantuan tidak berasa terbeban dengan jangkaan kenaikan harga barangan ketika melaksanakan penyasaran semula subsidi.

Sehubungan itu katanya, pembangunan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang sudah dipersetujui sebelum ini adalah pendekatan strategik ke arah mewujudkan ekosistem pelaksanaan bantuan yang lebih komprehensif dan sistematik.

“Inisiatif ini membolehkan rakyat menerima manfaat dari pelaksanaan dasar yang lebih terancang dan bersasar. PADU juga adalah inisiatif di bawah Anjakan Besar penyasaran semula subsidi, seperti yang dinyatakan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (KSP RMK12).

“Kerajaan akan memastikan sebarang keputusan diambil akan disampaikan dengan jelas kepada rakyat bagi mengelakkan kekeliruan terhadap perancangan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai mekanisme yang diguna pakai bagi pemberian subsidi bersasar menerusi PADU.

Beliau juga bertanya sejauh mana ketepatan data dalam sistem PADU supaya setiap golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) khususnya berada di kawasan kurang membangun dan tidak akan tercicir.

“Pelaksanaan PADU dijangka akan meminimumkan pertindanan dari segi pengagihan bantuan dan subsidi oleh pelbagai agensi kerajaan.

“Sistem ini akan mengintegrasi data mikro daripada pelbagai agensi kerajaan bagi mewujudkan profil data semua individu dan isi rumah seluruh rakyat Malaysia. 

“Penentuan kumpulan sasar akan lebih tepat dan memenuhi objektif pelaksanaan sesuatu dasar serta mengurangkan ralat kemasukan dan pengecualian.

“Kriteria dalam menentukan kumpulan sasar akan diteliti daripada pelbagai aspek termasuk pendapatan, bilangan isi rumah dan tanggungan, lokaliti dan jarak ke tempat kerja, serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN