KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyatakan pendirian kerajaan di Dewan Rakyat hari ini berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas.
Menurut aturan urusan mesyuarat disiarkan di laman sesawang Parlimen, soalan itu dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) pada Waktu Pertanyaan Menteri mengenai RUU itu yang mengenakan sekatan terhadap pihak luar menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin.
Anwar juga dijangka menjawab soalan P. Prabakaran (PH-Batu) mengenai jumlah yang dibelanja kerajaan dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa dari 2020 hingga kini.
Pada sesi soal jawab, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) dijangka meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan usaha mempertingkat keupayaan aset serta tahap penguatkuasaan bagi keselamatan sempadan.
Selesai sesi itu, sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan RUU Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian berkaitan.
Perbahasan RUU di peringkat jawatankuasa itu akan berlangsung selama 12 hari hingga 27 November ini.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari sejak 9 Oktober lalu. – UTUSAN