Israel mahu hapus rakyat Palestin di Gaza melalui kem tahanan

Israel mahu hapus rakyat Palestin di Gaza melalui kem tahanan

PENDUDUK Palestin memeriksa kemusnahan di kem perlindungan sementara susulan serangan kereta kebal Israel di Khan Younis, selatan Gaza, pada 11 Julai lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: ‘Bandar kemanusiaan’ yang dicadangkan oleh Menteri Pertahanan Israel untuk dibina di atas runtuhan Rafah sebenarnya adalah sebuah kem tahanan untuk rakyat Palestin.

Perkara itu didedahkan bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, yang turut memberi amaran memaksa rakyat Palestin masuk ke dalam kem tersebut boleh dianggap sebagai tindakan pembersihan etnik.

Menurut Olmert, Israel sudah pun melakukan jenayah perang di Gaza serta Tebing Barat, dan pembinaan kem tersebut akan menjadi peningkatan serius dalam siri kekejaman itu.

“Ia adalah sebuah kem tahanan. Saya minta maaf,” katanya apabila ditanya oleh The Guardian mengenai rancangan yang dibentangkan oleh Israel Katz minggu lalu.

Katz mendakwa, sebaik sahaja berada di dalam kem itu, rakyat Palestin tidak akan dibenarkan keluar kecuali untuk berpindah ke negara lain.

Beliau turut mengarahkan tentera untuk mula merangka pelan operasi bagi membina ‘bandar kemanusiaan’ di atas runtuhan di selatan Gaza, yang akan menempatkan 600,000 orang dan akhirnya keseluruhan populasi Palestin.

Olmert memberi amaran pemindahan ratusan ribu rakyat Palestin ke kawasan tertutup seperti itu tidak dapat dielakkan daripada ditafsir sebagai cubaan sistematik untuk mengusir serta mengasingkan mereka.

Bekas pemimpin Israel itu tidak menganggap kempen ketenteraan ketika ini sebagai bentuk pembersihan etnik kerana menurutnya, pemindahan orang awam bagi melindungi mereka daripada pertempuran adalah sah di sisi undang-undang antarabangsa.

Selepas berbulan-bulan retorik ganas, termasuk seruan menteri untuk ‘membersihkan’ Gaza dan rancangan pembinaan penempatan Israel di wilayah itu, Olmert berkata dakwaan kerajaan bahawa ‘bandar kemanusiaan’ bertujuan melindungi rakyat Palestin adalah tidak boleh dipercayai.

“Apabila mereka bina kem dengan rancangan untuk ‘membersihkan’ lebih separuh Gaza, jelas strategi ini bukan untuk selamatkan rakyat Palestin.

“Ia bertujuan mengusir, menolak dan membuang mereka. Saya tidak nampak maksud lain,” kata Olmert.

BUKAN ANTISEMITISME

Olmert berkata, penderitaan melampau di Gaza dan kekejaman peneroka haram di Tebing Barat semakin membangkitkan kemarahan terhadap Israel.

“Di AS, semakin ramai mengungkapkan kebencian terhadap Israel. Kita sering anggap mereka antisemitik, tetapi saya fikir tidak semua bersikap antiYahudi. Ramai sebenarnya antiIsrael kerana apa yang mereka lihat di televisyen dan media sosial.

“Ini adalah reaksi yang menyakitkan tetapi normal apabila orang ramai berkata ‘Kamu sudah melampaui batas’,” katanya.

Beliau pada awalnya menyokong kempen Israel terhadap Hamas selepas serangan 7 Oktober 2023.

Namun, apabila kerajaan Israel secara terbuka menghentikan rundingan untuk menamatkan perang menjelang musim bunga lalu, Olmert percaya negaranya melakukan jenayah perang.

“Dengan rasa malu dan hancur hati… apa lagi yang boleh saya lakukan untuk mengubah sikap ini, selain mengakui kejahatan tersebut, mengkritiknya, dan memastikan pandangan awam antarabangsa tahu bahawa terdapat suara lain.

“Malah ramai di Israel yang menentangnya,” katanya.

Beliau percaya pendirian rakyat Israel mungkin hanya akan berubah apabila mereka mula merasai tekanan antarabangsa.

Justeru, beliau menggesa campur tangan antarabangsa yang lebih tegas, memandangkan tiada pembangkang politik yang kukuh dalam negara itu.

Olmert, yang memimpin Israel dari 2006 hingga 2009, turut mengkritik media Israel kerana gagal melaporkan keganasan terhadap rakyat Palestin.

PENYELESAIAN DUA NEGARA

Peguam dan pakar hak asasi manusia Israel turut menyifatkan rancangan tersebut sebagai pelan tindakan bagi jenayah kemanusiaan,.

Canselor Jerman Friedrich Merz juga mengkritik rancangan Israel dan menyifatkan keadaan di Gaza sebagai tidak boleh diterima.

Merz berkata, beliau sudah menyuarakan penolakan terhadap rancangan tersebut kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dalam perbualan telefon mereka.

“Saya berharap kita di Eropah, bersama dengan Amerika Syarikat, dapat mencari penyelesaian yang akhirnya membawa kepada solusi dua negara.

“Rakyat Palestin berhak mempunyai tempat untuk mereka tinggal,” kata Merz.

Walaupun Gaza kini musnah teruk, sebagai perdana menteri terakhir yang berusaha mencapai penyelesaian melalui rundingan dengan Palestin, Olmert masih menaruh harapan terhadap penyelesaian dua negara.

Beliau kini bekerjasama dengan bekas Menteri Luar Palestin, Nasser al-Kidwa, untuk mendesak penyelesaian tersebut.

Olmert juga percaya perjanjian boleh dicapai dengan menamatkan perang di Gaza sebagai pertukaran kepada penormalan hubungan dengan Arab Saudi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN