DEWAN RAKYAT: Ada ahli politik tunggang agama isu enakmen

DEWAN RAKYAT: Ada ahli politik tunggang agama isu enakmen jenayah syariah 

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terdapat dalam kalangan ahli politik yang dianggap menunggang agama dengan memainkan isu petisyen difailkan berhubung Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang seolah-olah mencabar perundangan syariah di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sedangkan secara substantifnya, isu tersebut hanyalah melibatkan bidang kuasa yang mana negeri boleh membuat undang-undang sendiri atau harus berunding dengan kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Persekutuan tidak menghalang perkara itu namun harus dilakukan dengan kaedah yang betul.

“Kita bayangkan kalau semua negeri buat undang-undang (sendiri) sewenang-wenangnya dan setiap negeri ada percanggahan?

“Yang dibangkitkan kerana ada persepsi dalam kalangan orang Islam seolah-olah mencabar syariah ini kerana persepsi ini dibangkitkan kerana orang politik menunggang agama untuk membangkitkan isu ini,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd. Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) yang mahu tahu pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung Notis Petisyen yang difailkan Nik Elin Zurina Abdul Rashid dan anaknya yang dilihat usaha mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Dalam pada itu, katanya, selama ini dalam pentadbirannya dan Kabinet terdahulu memang ada usaha untuk menyelaraskan undang-undang syariah di peringkat negeri dan Majlis Raja-Raja (MRR) dirujuk.

“Mahkamah Persekutuan akan buat keputusan mengikut pertimbangan mereka jika bidang kuasa negeri atau Persekutuan, tapi keputusan itu tidak menghalang kerajaan dengan perkenan MRR untuk mengadakan penelitian dan bincang dengan semua pihak berkepentingan supaya ada peraturan yang boleh dilaksana dengan maksud meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah yang ada sekarang,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Suhaizan Kayat [PH-Pulai] sekiranya mahkamah memutuskan terdapat perlanggaran peruntukan undang-undang syariah selepas mahkamah memutuskannya, Anwar bagaimanapun memberitahu enggan melangkaui keputusan mahkamah.

“Apa pun keputusan mahkamah kita harus patuhi kerana kita tiada pilihan. Ini sistem dalam negara kita. Tetapi, ia tidak akan menghalang kerajaan untuk mengadakan dan meneruskan kerja jawatankuasa dan mengemukakan cadangan cindaan yang dimohon dan mendapat perkenaan MRR dan dibentang ke Parlimen,” katanya.

Semalam Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan, isu dalam pendengaran petisyen bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 bukan mengenai memburuk-burukkan agama Islam atau melemahkan kuasa Mahkamah Syariah.

Tengku Maimun yang mempengerusikan panel sembilan Hakim Mahkamah Persekutuan, berkata, isu yang timbul melalui sebahagian daripada petisyen itu adalah sama ada Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan yang dipertikaikan.

Semalam, lebih 1,000 orang dilaporkan hadir Himpunan Selamatkan Syariah dan sertai solat hajat di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.

Perhimpunan anjuran Perikatan Nasional (PN) itu bagi membantah tindakan Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Mereka mahu mengisytiharkan peruntukan-peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya