JOHOR BAHRU: Had kelajuan feri dari Terminal Feri Pasir Gudang di sini ke Batam dan Tanjung Pinang, Indonesia ditetapkan kurang 12 knot ketika melalui kawasan perkampungan penduduk.
Pengurus Besar Pasir Gudang Passenger Terminal Sdn. Bhd., Mohd. Tuah Mohd. Amin berkata, had tersebut ditetapkan bagi memberi keadilan kepada semua pihak terlibat, namun mengakui menerima aduan daripada nelayan dan penduduk tentang feri dibawa laju ketika melalui lima perkampungan di laluan berkenaan.
“Beberapa inisiatif telah diambil termasuk mengadakan pertemuan bersama wakil penduduk dan kapten beberapa feri yang beroperasi di Terminal Feri Pasir Gudang.
“Had kelajuan dibenarkan di kawasan berkenaan adalah 12 knot dan feri tidak boleh melebihi kelajuan berkenaan. Ini adalah had minimum, jika lebih perlahan feri tidak akan bergerak dan ia boleh rosakkan enjin,” katanya mengulas aduan penduduk di laluan berkenaan.
Mohd. Tuah berkata, pihaknya akan terus mengadakan perbincangan dengan operator feri terlibat bagi memastikan peraturan tersebut dipatuhi demi kesejahteraan komuniti setempat.
“Di sini hanya ada 10 slot perjalanan sehari, bermakna kami hanya melintasi kawasan itu sebanyak 20 kali, berbanding terminal feri di Stulang Laut yang mempunyai lebih sekali ganda slot perjalanan,” katanya.
Semalam Utusan Malaysia menyiarkan aduan dan bantahan komuniti nelayan termasuk masyarakat Orang Asli dari lima perkampungan tentang kelajuan feri yang menyebabkan ombak tinggi sehingga mengakibatkan kerosakan bot dan rakit mereka. – UTUSAN










