RIO DE JANEIRO: Pemimpin negara-negara BRICS akan mengadakan sidang kemuncak tahunan bermula Ahad di Rio de Janeiro tanpa kehadiran Presiden China, Xi Jinping.
Ketiadaan Jinping menimbulkan persoalan, memandangkan beliau tidak pernah terlepas menghadiri sidang kemuncak tahunan sejak memegang jawatan sebagai Presiden China pada 2012.
Bekas Pengarah Hal Ehwal China di Majlis Keselamatan Amerika Syarikat (AS), Ryan Hass, menjangkakan pelbagai spekulasi akan timbul mengenai sebab ketidakhadiran Jinping.
“Penjelasan paling mudah mungkin masuk akal, beliau baru sahaja menjadi tuan rumah kepada Lula di Beijing,” katanya.
Presiden China bukan satu-satunya pemimpin utama yang tidak hadir ke sidang kemuncak BRICS tahun ini.
Presiden Russia, Vladimir Putin juga memilih untuk tidak hadir secara fizikal, namun akan menyertai sidang secara dalam talian, menurut Kremlin.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, turut tidak hadir secara fizikal, ketika negaranya masih bergelut dengan kesan konflik selama 12 hari dengan Israel.
Hass tidak menolak kemungkinan ketiadaan Putin dan kehadiran Perdana Menteri India, Narendra Modi, sebagai tetamu kehormat menjadi faktor Jinping tidak hadir.
“Jinping tidak mahu kelihatan ditenggelami oleh Modi. Saya percaya keputusan beliau mewakilkan Perdana Menteri, Li Qiang adalah berpunca daripada faktor ini,” katanya.
BRICS, gabungan negara membangun yang terdiri daripada Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan, sering dilihat sebagai pengimbang kepada dominasi Barat, khususnya Amerika Syarikat (AS), dengan Beijing memainkan peranan utama dalam hala tuju blok tersebut.
Sidang kali ini berlangsung ketika anggota BRICS berdepan ketegangan perdagangan dengan AS, termasuk ancaman perang tarif yang boleh membawa kesan besar kepada ekonomi.- AFP









