DEWAN RAKYAT: 50,000 benih padi sah diluluskan esok 

DEWAN RAKYAT: 50,000 benih padi sah diluluskan esok 

MOHAMAD Sabu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 50,000 kampit Benih Padi Sah (BPS) diluluskan esok dengan pengagihan sebanyak 31,000 kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) serta 19,000 lagi disalurkan ke Perlis dan luar jelapang negeri Kedah.

Menyifatkan ia sebagai langkah drastik, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia bagi memastikan bekalan BPS mencukupi dan harganya terkawal.

“Selain itu, kementerian turut memantau dan mengawal ketat proses kelulusan ladang dan makmal terhadap 12 pengeluar BPS berdasarkan prosedur operasi standard yang ditetapkan jabatan dan agensi sebelum BPS dijual kepada pesawah,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi [PN-Kuala Kedah] mengenai langkah segera KPKM bagi menangani isu penjualan benih padi sah yang begitu menekan pesawah serta menjejaskan hasil pengeluaran padi dan kadar sara diri (SSR) beras negara.

Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meluluskan 532,325 kampit BPS bagi kegunaan di Kedah dan Perlis dengan rekod pengeluaran 89,723 kampit benih pada 18 Okt lepas, 151,200 kampit benih (26 Okt), 79,142 kampit benih (3 Nov) dan 112,260 kampit benih (10 Nov).

Mengulas lanjut, bagi langkah jangka masa panjang pula, kerajaan turut melaksanakan kajian bagi menangani harga belian padi dan benih padi supaya semua pihak termasuk peruncit dan pengguna berada dalam situasi menang-menang.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, KPKM akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam masa terdekat bagi menentukan aspek penyelarasan harga.

Pada sesi soal jawab pula, Mohamad berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menaikkan harga siling beras putih tempatan dalam usaha menangani isu bekalan beras dalam negara.

“Memang harga (beras putih tempatan) RM26 ini ialah harga pada 2008. Jika mahu berlaku kenaikan (harga siling), maka, kita kena bincang dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan KPDN.

“Perbincangan intensif ini yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan melibatkan pandangan daripada ahli-ahli Parlimen yang terlibat dalam kawasan penanaman padi,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN