PETALING JAYA: Menara Merdeka 118, meraih dua anugerah World Gold dalam kategori Pejabat dan Pembangunan Mampan di FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2026.
PNB Merdeka Ventures Sdn.Bhd. berkata, anugerah berprestij tersebut mengiktiraf menara itu kerana berjaya menetapkan penanda aras baharu industri sebagai salah satu pembangunan paling cemerlang di dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Izwan Ibrahim berkata, kejayaan di peringkat antarabangsa ini menyusuli pencapaian Menara Merdeka 118 yang turut memenangi anugerah tertinggi dalam kategori yang sama di FIABCI Malaysia Property Awards 2025.
“Kamі amat berbesar hati menerima anugerah FIABCI World Prix d’Excellence yang diiktiraf di peringkat global. Ia merupakan pengiktirafan terhadap sebuah menara berwawasan yang mencerminkan warisan dan sejarah kaya negara, sambil menghayati masa depan.
“Ia juga membuktikan komitmen PNB Merdeka Ventures terhadap kecemerlangan, kemampanan dan inovasi dalam membentuk pembangunan bertaraf dunia yang menjadi kebanggaan negara,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, lebih daripada sekadar sebuah menara mercu tanda, Menara Merdeka 118 dibangunkan sebagai destinasi global yang menggabungkan reka bentuk bertaraf dunia dan kemampanan secara harmoni dengan aspek kesalinghubungan serta kecemerlangan operasi bagi memberikan impak yang berkekalan.
“Kami berbangga dapat menyumbang kepada pertumbuhan, kemeriahan dan nilai jangka panjang sektor hartanah negara, di samping memperkasakan komuniti di sekitarnya,” katanya.
Menara Merdeka 118 dengan ketinggian 678.9 meter, merupakan bangunan tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara, serta menjadi mercu utama sebuah kawasan pembangunan bersepadu seluas 40 ekar di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Sebagai bangunan kedua tertinggi di dunia, pembangunan ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa atas pencapaian dalam aspek kemampanan, pendekatan pembangunan berasaskan warisan, serta visinya untuk mewujudkan destinasi bandar yang bersedia menghadapi masa depan. – UTUSAN










