KUCHING: Seramai 189 pegawai penguat kuasa dan 99 pegawai pemantauan harga digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sarawak sepanjang tempoh musim perayaan Deepavali.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sarawak, Peter J. Berinus Agang berkata pegawai yang terlibat akan melaksanakan pemantaun dipremis perniagaan runcit dalam Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023.
“KPDN Sarawak telah menggerakkan seramai 189 pegawai penguatkuasa dan 99 pegawai pemantauan harga untuk memantau harga dan pematuhan harga semasa SHMPP Deepavali ini berkuat kuasa.
“SHMPP perayaan Deepavali berkuatkuasa hari ini (November) sehingga tempoh 15 November 2023 yang melibatkan sepanjang tujuh (7) hari.
“Dalam pada itu pelaksanaan dilakukan bermula 3 hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan 3 hari selepas perayaan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2033, di Mydin Samariang di sini hari ini.
Tambah Peter, kesemua bekalan barang yang dikenakan dalam skim harga maksimum tersebut juga mencukupi bagi tempoh sepanjang persiapan musim Deepavali.
“Bekalan bagi tempoh ini mencukupi bagi barang kawalan yang terlibat.
“Ia melibatkan lapan barangan iaitu bawang merah besar import, bawang merah kecil (India) tidak termasuk ros, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal (Australia), kelapa biji (harga maksimum di peringkat borong), kelapa parut (harga maksimum di peringkat runcit) dan tomato,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua peniaga mematuhi peraturan-peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan jika gagal berbuat demikian boleh dikenakan penalti.
Menurutnya, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda di mahkamah sehingga RM100,000 atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala bagi syarikat, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000, tambahnya.
Selain itu katanya, kesalahan meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000.
“Syarikat yang tidak meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompuan sehingga RM10,000,” katanya lagi.- UTUSAN










