PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegur seluruh ahli politik untuk tidak melibatkan kakitangan awam dalam kepentingan politik masing-masing.
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, pihaknya menolak sebarang cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa pemerhati bagi memantau kecenderungan politik penjawat awam, ia juga dilihat sebagai merugikan sumber semasa perkhidmatan awam.
Kata beliau, penjawat awam kekal profesional dalam menjadi tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan dan negara walaupun mempunyai ideologi serta pandangan politik masing-masing.
“Sebagai seorang penjawat awam, mereka sudah berikrar untuk menyatakan taat setia sepanjang perkhidmatan kepada kerajaan sedia ada.
“Bagaimanapun dalam konteks demokrasi penjawat awam itu berhak mempunyai pandangan mereka sendiri tanpa paksaan termasuk ketika membuang undi pada pilihan raya,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, PKR Johor mencadangkan Kementerian Pendidikan membentuk jawatankuasa khas bagi memantau guru yang tidak menyokong kerajaan.
Perwakilan dari Johor, Haryati Abu Nasir berkata, ini ekoran terdapat aliaran membimbangkan dalam kalangan penjawat awam yang secara terbuka menunjukkan penentangan terhadap kerajaan.
Mengulas lanjut, Adnan membangkitkan soalan kepada Haryati Abu yang mencadangkan penubuhan jawatankuasa tersebut.
“Cuepacs ingin bertanya kepada pihak yang melontarkan idea ini adakah pengundi di negara ini hanya penjawat awam sahaja sehingga menjadikan kami sebagai perhatian. Dahulu pun penjawat awam pernah dilabel mengundi pembangkang sehingga pembangkang itu menjadi kerajaan pada hari ini.
“Apabila sudah menjadi kerajaan sewajarnya pihak yang diberi amanah itu fokus untuk melaksanakan kerja pada rakyat dan bukannya mencari kesalahan penjawat awam. Tidak adil sekiranya keseluruhan penjawat awam disasarkan hanya semata-mata memiliki kecenderungan politik berbeza,” katanya.
Tambahnya, cadangan tersebut hanya akan merugikan negara kerana lebih banyak perkara yang perlu dilakukan oleh kerajaan selain daripada memantau kecenderungan politik penjawat awam.
“Usaha ini sepatutnya ditumpukan sahaja bagi perkara yang benar-benar penting seperti meningkatkan kos taraf hidup rakyat atau apa sahaja perkara yang memberikan kebaikan kepada negara,” jelasnya. –UTUSAN










