Cubaan rampasan kuasa titik hitam dalam sejarah politik Sabah

Cubaan rampasan kuasa titik hitam dalam sejarah politik Sabah-Hajiji

HAJIJI Noor semasa tiba bagi merasmikan Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di Kota Kinabalu hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Cubaan rampasan kuasa yang berlaku pada awal tahun ini diharap tidak berulang bagi membolehkan kerajaan fokus kepada kemajuan dan kemakmuran negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sejarah hitam dalam sejarah politik Sabah itu membuatkan kerajaan negeri nyaris-nyaris lumpuh serta hilang kelayakan untuk meneruskan pentadbiran dan kuasa pemerintahan.

“Masih segar dalam ingatan kita mengenai cubaan kudeta politik pada awal tahun ini oleh segelintir pemimpin atau kumpulan, yang juga merupakan rakan kita sendiri.

“Akibat daripada cubaan itu, segala urusan pentadbiran negeri telah terganggu seketika. Rakyat menjadi cemas kerana mereka bimbang akan berlaku pilihan raya negeri (PRN). Situasi sebegitu tidak sepatutnya terjadi kerana ia boleh mewujudkan tanggapan berlaku ketidakstabilan politik di Sabah,” katanya

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan dasar Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sempena Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat, hari ini.

Justeru, beliau melahirkan penghargaan atas sokongan Pakatan Harapan (PH) Sabah yang membolehkan kerajgaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat diselamatkan dan terus memegang tampuk kerajaan sehingga kini.

Katanya, peristiwa tersebut membolehkan mereka tahu ‘siapa kawan dan siapa lawan’ dan lebih penting mereka dapat mengenali hati budi rakan sekutu dalam politik.

Hajiji menegaskan bahawa cubaan menumbangkan kerajaan demokratik pilihan rakyat dengan sewenang-wenangnya dan sebegitu rupa adalah suatu tindakan terdesak yang sangat memalukan dan tidak beretika.

Menurut beliau lagi, ahli parti di semua peringkat perlu sentiasa bekerja keras kerana PRN akan diadakan pada bila-bila masa.

“Walaupun kita masih mempunyai tempoh dalam dua tahun lagi, namun siapa tahu kemungkinan pilihan raya akan kita awalkan,” katanya.

Maka, kepimpinan parti di semua peringkat harus terus diperkukuh dan tidak boleh leka, sebaliknya terus bekerja untuk parti, rakyat dan negeri.

Pengerusi GRS itu juga mengulangi komitmen untuk terus bangkit dalam perjuangan mendapatkan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Katanya, Gagasan Rakyat sebagai sebuah gabungan parti tempatan menjunjung semangat Persekutuan Malaysia berteraskan citra kebangsaan.

“Kita akan memainkan peranan yang signifikan dalam politik kebangsaan bagi mengangkat agenda pembangunan negeri dan negara.

“Kita mengangkat perjuangan negeri sepertimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan dan mana-mana hak Sabah yang berkaitan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya