PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) bersedia duduk semeja dengan kerajaan bagi mencari solusi terbaik untuk negara dan rakyat ketika dunia sedang bergelut dengan krisis tenaga.
Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pelawaan Perdana Menteri itu perlu dilakukan secara ikhlas dan bukannya seperti ‘ajak-ajak ayam’.
“Kita (pembangkang) mengalu-alukan niat sebegitu kerana isu sekarang ini bukan isu kerajaan, rakyat atau negara tetapi membabitkan semua pihak.
“Tetapi tak bolehlah orang kata ia sekadar ‘ajak-ajak ayam’. Kita ikhlas, serius… kita boleh duduk bersama dan bincang apa yang mampu dilakukan bersama-sama.
“Kalau Perdana Menteri boleh sikap terbuka mempelawa ataupun menjemput wakil pembangkang untuk duduk dalam jawatan kuasa tertinggi atau pun dalam ‘task force’ atau pun apa sahaja difikirkan sedang dibuat sekarang ini, kita amat mengalu-alukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh, Muar yang dihadiri Adunnya, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.
Semalam, Anwar menyeru semua pihak untuk bekerjasama dalam mencari penyelesaian ketika negara juga tidak terhindar dari krisis tenaga global.
Beliau berkata, situasi semasa bukan berkaitan pertarungan politik, sebaliknya semua pihak perlu bersabar dan memberi tumpuan kepada usaha menangani cabaran negara.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau tidak bersetuju pelantikan Tan Sri Mohd. Hassan Marican sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menyelaras usaha kerajaan menangani krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat.
Katanya, jawatan terbabit sepatutnya digalas Anwar seperti mana beliau melakukannya ketika dunia dilanda pandemik Covid-19
“Urusan seperti ini yang agak paling kritikal, seharusnya dipimpin oleh Perdana Menteri sendiri. Ia bukan soal harga minyak, tetapi keluhan rakyat yang tertekan terutamanya kenaikan harga diesel.
“Saya tak nak ambil contoh waktu zaman Covid-19 yang kita uruskan. Tapi ia dalam satu konteks yang sama iaitu krisis,” katanya. – UTUSAN










