Cerai tinggi, kahwin rendah di Malaysia

Cerai tinggi, kahwin rendah di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kes perceraian di Malaysia meningkat 43.1 peratus daripada 43,936 kes pada 2021 kepada 62,890 kes tahun lalu.

Ketua Perangkawan berkata, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perceraian tertinggi adalah pada kumpulan umur 35 hingga 39 tahun bagi pengantin lelaki manakala pengantin perempuan adalah pada kumpulan usia 30 hingga 34 tahun.

Kata beliau, bilangan perceraian orang Islam mencatatkan peningkatan 45.8 peratus pada 2022 atau 46,138 kes berbanding 31,650 kes pada 2021. 

“Peningkatan ini disebabkan kes-kes yang dibawa ke hadapan daripada tahun sebelumnya. Tiga negeri yang mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian orang Islam iaitu Kedah (113.6 peratus), Sabah (94.5 peratus) dan Perlis (83.5 peratus). 

“Sementara itu, perceraian orang bukan Islam juga turut meningkat 36.4 peratus daripada 12,286 (2021) kepada 16,752 (2022). Tiga lokasi atau negeri  yang mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian orang bukan Islam iaitu Putrajaya (500 peratus) diikuti Johor (61.5 peratus) dan Melaka (59.0 peratus),” katanya dalam satu kenyataan. 

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan laporan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian, Malaysia, 2023 yang membentangkan statistik perkahwinan dan perceraian bagi tahun 2021  dan  2022 mengikut ciri-ciri demografi di peringkat nasional, negeri dan daerah pentadbiran.

Statistik itu adalah input penting kepada perancangan dasar sosial bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan di Malaysia selain berguna sebagai sumber rujukan kepada penyelidik dan akademik.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, bilangan perkahwinan di Malaysia pula menurun 0.5 peratus daripada 215,973 pendaftaran yang direkodkan pada 2021 kepada 214,824 pada 2022. 

Pada masa sama, umur penengah pengantin lelaki kekal pada usia 28 tahun manakala umur penengah pengantin perempuan meningkat kepada usia 27 tahun berbanding 26 tahun pada 2021. 

“Penurunan bilangan perkahwinan ini disumbangkan oleh penurunan 4.1 peratus bilangan perkahwinan orang Islam pada 2022 (168,726) berbanding 2021 (176,002). 

“Tiga negeri yang menunjukkan penurunan tertinggi perkahwinan orang Islam adalah Putrajaya (19.6 peratus) diikuti Perak (12.8 peratus) dan Terengganu (11.3 peratus),” katanya. 

Sementara itu, beliau menambah, bilangan perkahwinan orang bukan Islam pula merekodkan peningkatan 15.3 peratus daripada 39,971 pada 2021 kepada 46,098 pada 2022. 

“Tiga negeri yang menunjukkan peningkatan tertinggi perkahwinan Orang Bukan Islam iaitu Terengganu (40.2 peratus), Johor (26.6 peratus) dan Negeri Sembilan (21.1 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya