Bukan tak mahu berlakon, masa tidak mengizinkan - Scha Al Yahya - Utusan Malaysia

Bukan tak mahu berlakon, masa tidak mengizinkan – Scha Al Yahya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mendedahkan terpaksa menolak pelbagai tawaran lakonan, aktress popular, Scha Al Yahya mengakui tuntutan tugas dan jadual komitmen kerja lain memaksanya membuat keputusan tersebut.

Kongsi Scha, dia tidak mahu menyusahkan produksi kerana pertindihan jadual sementelah berlakon menuntut masa dan komitmen yang sangat tinggi.

“Bila terpaksa tolak banyak tawaran, saya anggap tiada rezeki lagi utuk berlaku. Selalu bila ada yang tawarkan watak tertentu, mesti akan tertindan dengan kerja lain. Saya juga perlu menguruskan keluarga.

“Memang ada sahaja tawaran berlakon itu tetapi apabila datang serentak dengan kerja lain, saya akan mengambil mana yang lebih dekat dengan jiwa, macam pengacaraan dan peragaan.

“Bukanlah nak cakap lakonan tidak penting tetapi saya perlu lebih adil dengan pihak lain sebab saya ada jadual sendiri. Berlakon memerlukan komitmen dan masa yang tinggi, saya tak mahu menyusahkan sesiapa,” ujarnya.

Mengakui menerima pertanyaan peminat yang merindukan lakonannya, ibu kepada dua anak ini tidak mahu memberi sebarang janji namun dalam pada masa sama, cuba untuk mencari masa terluang untuk lakonan.

“Kalau boleh tak mahulah janji bulan bintang. Saya tahu ramai juga yang menantikan kemunculan saya dalam drama atau filem. Saya cuba yang terbaik tahun hadapan.

“Saya tak pernah pun bercadang memperlahankan aktiviti lakonan. Cuma macam saya cakap tadi, masa itu perlu disusun dengan lebih baik. Tetapi kepada yang rindu, tahun depan filem lakonan saya, Telaga Suriram akan ditayangkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN