ALOR SETAR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan gabungan itu akan meletakkan calon langsung pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kaedah tersebut pernah dilakukan BN dalam beberapa pilihan raya sebelum ini dan calon yang dinamakan tersebut diterima baik ahli dan pengundi setempat.
“Kita pernah melakukan pemilihan calon untuk direct candidate atau pun calon langsung tanpa melihat kepada hierarki jawatan di dalam parti dan ini telah diterima dengan baik. Besar kemungkinan kaedah yang sama akan kita lakukan di Kemaman,” katanya selepas merasmikan Retreat Biro Politik UMNO Kedah, di sini hari ini.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, nama bekas pegawai kanan tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor merupakan antara tokoh yang disebut-sebut sebagai calon BN untuk bertanding dalam PRK Parlimen Kemaman.
Menurut sumber dalaman UMNO, nama Raja Mohamed Affandi, 66, timbul selepas beberapa nama yang dikatakan bakal menjadi calon sebelum ini menyatakan mereka tidak bertanding dalam PRK tersebut, antaranya bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Mengulas lanjut, kata Ahmad Zahid, PRK Kemaman dilihat penting bagi BN khususnya UMNO yang menyasarkan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan majoriti yang diperolehi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan Che Alias Hamid dari PN di kerusi itu selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika berkempen.
Susulan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman diadakan 2 Disember dan hari penamaan calon pada 18 November ini manakala hari pengundian awal pada 28 November.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid menegaskan, UMNO tidak akan terjejas dengan tindakan empat Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyatakan kerusi-kerusi yang disandang empat wakil rakyat itu akan kekal menjadi kuota kepada parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya pada masa akan datang.
Menurut beliau, perkara itu perlu menjadi pertimbangan memandangkan UMNO atau BN mendapat undian kedua tertinggi melibatkan Parlimen Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan Jeli.
“Calon-calon BN tidak cukup jumlah undi untuk memenangi kerusi itu (pada PRU lalu), namun kita berada di kedudukan yang kedua. Dengan itu kita tentunya akan memperkirakan tentang soal bahawa kerusi yang dimenangi oleh mereka itu adalah sesuatu yang sangat subjektif.
“UMNO dan BN akan memperkirakan bahawa perkembangan terbaru itu biarpun baik namun berpendirian bahawa kerusi-kerusi itu adalah menjadi milik UMNO semula jika perkembangan baharu politik ini diperkirakan sebagai landasan untuk kita bergerak ke hadapan,” katanya.
Sebelum ini Ahli Parlimen dari Bersatu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar); Datuk Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan); Mohd. Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) dan Zahari Kechik (PN-Jeli) menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri. –UTUSAN