Bersatu gantung keahlian MP Kuala Kangsar empat tahun 

Sokong Anwar, Ahli Parlimen Kuala Kangsar digantung keahlian empat tahun 

ISKANDAR DZULKARNAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akhirnya menggantung keahlian Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid selama empat tahun berkuat kuasa kelmarin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jawatankuasa itu telah bersidang pada Jumaat lalu bagi meneliti laporan pelanggaran disiplin dan perlembagaan parti kerana mengisytihar sokongannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Setelah diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga surat penjelasan daripada YB Datuk Iskandar Dzulkarnain, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu.

“Maka, beliau digantung keahlian berserta kesemua jawatan dalam parti yang dipegang bagi tempoh empat tahun berkuat kuasa dari tarikh keputusan dan hukuman, iaitu 3 November 2023,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan nasib seorang lagi wakil rakyatnya, iaitu Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman selepas mengikut jejak langkah rakannya menyokong Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Hamzah pada 2 November lalu telah mengumumkan menggantikan Suhaili sebagai Ketua Bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan Labuan dengan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Suhaili baru-baru ini mengumumkan sokongan kepada Anwar dan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor.

Beliau merupakan wakil rakyat kedua daripada Bersatu yang menyokong kepimpinan Anwar selepas Iskandar Dzulkarnain memulakan langkah melawan arus prinsip parti, 12 Oktober lalu.

Pada 13 Oktober lalu, Perikatan Nasional (PN) mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan, beliau akan didakwa atas kesalahan rasuah.

Hamzah mendakwa tindakan menakut-nakutkan pemimpin itu dipercayai bertujuan mendapatkan sokongan supaya kerajaan kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

Dakwanya, pada 1 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain dibawa bertemu seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah jika enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.

Bagaimanapun, SPRM telah menafikan bahawa badan berkuasa itu terlibat dalam pengisytiharan sokongan Iskandar Dzulkarnain, manakala dakwaan pihaknya telah mengugut ahli Parlimen itu bertujuan mencemarkan nama baik SPRM.

Untuk rekod, Anwar tidak membuat sebarang kenyataan umum meletakkan syarat ahli Parlimen pembangkang yang pada masa ini tidak mendapat peruntukan Persekutuan untuk memberi perkhidmatan kepada pengundi mereka bagi menyokong dasar kerajaan bagi mendapat peruntukan itu.

Sebaliknya, Anwar dan ahli Parlimen kerajaan yang lain telah berkali-kali memberitahu ahli Parlimen pembangkang untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan untuk mendapatkan peruntukan yang sama dan memberi jaminan bahawa kerajaan terbuka kepada perbincangan sedemikian.

Pada Khamis lalu di Dewan Rakyat, Anwar menafikan dua ahli Parlimen berkenaan pernah berunding dengannya bagi menyokong Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya