KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,500 pemimpin agama, ulama, cendekiawan, ahli akademik dan pembuat dasar dari 31 negara akan berhimpun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) esok bagi membincangkan isu keamanan global, keharmonian sosial dan pembangunan belia sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, persidangan yang dianjurkan dengan kerjasama Muslim World League (MWL) itu mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap peranan Malaysia sebagai negara yang menjunjung nilai kesederhanaan, perpaduan dan dialog dalam memperkukuh keamanan serta kesejahteraan sejagat.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, persidangan ini bertujuan memupuk keharmonian, keamanan dan persefahaman dalam masyarakat pelbagai, di samping mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai platform dialog global yang diyakini dalam membincangkan isu berkaitan keamanan, pembangunan masyarakat dan kesejahteraan sejagat.
“Persidangan ini turut mencerminkan komitmen bersama untuk mempromosikan kehidupan bersama secara aman, memperkukuh keharmonian sosial serta memperkasakan golongan muda sebagai rakan strategik dalam membina komuniti yang berdaya tahan dan inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan persidangan itu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung MWL, Datuk Seri Sheikh Dr. Mohammad Abdul Kareem Al-Issa; anggota Jemaah Menteri serta perwakilan antarabangsa.
Sirajuddin berkata, sebanyak 18 pembentang dan panelis antarabangsa akan berkongsi pandangan berdasarkan empat tema utama, iaitu memperkukuh keharmonian sosial dan saling menghormati, memperkasakan belia melalui pendidikan dan kepimpinan, menangani cabaran semasa generasi muda serta memperkukuh peranan pemimpin agama dalam pembangunan dan pemerkasaan belia.
Tambahnya, persidangan itu turut disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi JAKIM dan MWL bagi membolehkan masyarakat mengikuti perbincangan serta perkongsian yang berlangsung sepanjang acara berkenaan. – UTUSAN










